Melalui temubual bersama penerbitan Perancis, Les Numeriques, diterjemah oleh Nintendo Life, Pengarah Urusan Nintendo Perancis, Phillipe Lavoue mengatakan yang Nintendo masih tidak pasti mengenai permainan realiti-maya dan juga sokongan 4K.
Pengeluar konsol lain seperti Sony melalui PSVR menunjukkan fokus mereka mengenai realiti-maya dengan mengatakan mereka akan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah permainan realiti maya sebanyak 80% berbanding 2017.
Sony dan Microsoft juga mula menyokong resolusi 4k, melalui Xbox One X dan juga Playstation 4 Pro. Menurut Phillipe Lavoue buat masa ini realiti-maya masih bukan sesuatu yang dikehendaki ramai dan hanya sebilangan pemain sahaja yang berminat dengan permainan versi ini.
Untuk sokongan 4K beliau mengatakan adakah berguna untuk menyokong teknologi yang masih belum diterima ramai. Buat masa sekarang jumlah pengguna yang mempunyai TV 4K adalah sangat rendah.
Kami agak bersetuju dengan pandangan beliau, buat masa sekarang realiti-maya dan 4K sangat terhad kepada sesetengah pemain sahaja. Pada masa sama kami juga berpendapat jika Nintendo tidak terlibat dalam teknologi baru dari awal, Nintendo mungkin akan ketinggalan apabila teknologi ini mula diterima pemain kelak.