Ubisoft sebelum ini berkongsi lanjut mengenai Beyond Good and Evil 2 akan tetapi ia dilakukan melalui penerangan oleh pembangun permainan tersebut. Hari ini, Ubisoft memperlihatkan segala perkongsian sebelum ini dengan memperlihatkan video bentuk permainan.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, melalui permainan ini pemain boleh mengembara menggunakan kapal angkasa dan juga watak permainan ini sendiri. Video tersebut juga memperlihatkan pertempuran serta kegunaan spyglass yang akan menjadi aksesori utama untuk pemain.
Menariknya ia juga memperlihatkan pertempuran menggunakan kapal angkasa, selain memperlihatkan kebolehan pengubahsuaian kepada kapal untuk memberi pelbagai fungsi tambahan.
Mereka juga menerangkan mengenai permainan mod multi-pemain, rakan anda boleh menyertai pengembaraan pada bila-bila masa, dan mereka juga boleh melakukan perkara sendiri dan tidak semestinya mengikut apa yang anda sedang lakukan.
Buat masa ini, Beyond Good and Evil 2 masih tidak menerima sebarang tarikh pengeluaran.