Lanjutan daripada pengumuman strim langsung permainan Beyond Good And Evil 2 baru-baru ini oleh Ubisoft, kini mereka akhirnya berkongsi sebilangan perkembangan pembangunan permainan tersebut.
Melalui video tersebut, pembangun permainan tersebut berkongsi yang mana permainan tersebut akan mempunyai dua bentuk permainan utama iaitu pengembaraan menggunakan kapal angkasa dan pengembaraan menggunakan watak.
Permainan ini juga menyertakan Jetpack, dimana pemain berupaya untuk mengembara dengan lebih senang. Tambahan juga, seperti watak dari permainan pertama Jade, permainan ini juga meletakkan watak bersenjata tongkat.
Permainan ini juga menitip berat berkenaan lanun yang terdapat di dalam permainan pertama dan menurut Michel Ancel, pengarah kreatif permainan tersebut menyatakan bahawa penceritaan permainan Beyond Good And Evil 2 akan berkait rapat berkenaan lanun-lanun yang terdapat di dalam permainan pertama.
Permainan ini juga menyertakan sokongan mod multi-pemain yang membenarkan pemain untuk mengembara di ruang udara bersama rakan-rakan anda. Buat masa ini, tidak banyak lagi bentuk permainan yang dikongsikan. Namun, ini merupakan satu perkembangan yang menarik buat permainan tersebut.
Beyond Good And Evil 2 adalah permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Ubisoft. Ia merupakan permainan bertempatkan sebelum daripada Beyond Good And Evil yang dilancarkan di Playstation 2 dan Xbox pada 2003 lepas.
Pada masa akan datang, Ubisoft akan berkongsi lagi pelbagai informasi berkenaan pembangunan permainan tersebut dan anda juga boleh menyertai proses pembangunan permainan tersebut dengan menyertai Space Monkey Program yang terdapat di laman rasmi permainan tersebut.