Skip to main content

Celeste dikeluarkan pada 25 Januari 2018 untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC. Ia dibangunkan dan juga diterbitkan oleh Matt Makes Games. Walaupun permainan ini sudah berada di pasaran sejak awal tahun lagi, namun saya baru sahaja berkesempatan untuk menghabiskan permainan ini.

Oleh kerana saya percaya yang ia adalah antara permainan platformer terbaik, saya ingin berkongsi ‘mengapa’. Berikut adalah ulasan penuh untuk Celeste yang baru-baru ini tersenarai di dalam pencalonan untuk permainan terbaik tahun ini di The Game Awards 2018.

Cerita

Perkara utama mengenai permainan platformer adalah ia menyasarkan untuk memberi cabaran kepada pemain dan kebanyakan permainan jenis ini tidak memfokuskan penceritaan. Namun, ia sangat berbeza bagi Celeste yang mempunyai jalan cerita, watak dan cara penceritaan yang sangat menarik. Walaupun platforming masih lagi menjadi asas utama permainan, akan tetapi penceritaan tetap ditekankan dan saya sangat menyukainya.

Permainan ini adalah berkenaan seorang perempuan iaitu Madeline yang cuba mendaki gunung Celeste. Walaupun mempunyai premis penceritaan yang agak ringkas, akan tetapi permainan ini mengembangkan penceritaan dengan memperkenalkan pelbagai watak di sepanjang pengembaraan Madeline untuk mendaki gunung tersebut.

Watak seperti Granny dan Mr. Oshiro yang merupakan penetap di gunung tersebut, hadir untuk jangka masa yang singkat akan tetapi berjaya menambah perasaan misteri ke dalam penceritaan ini. Selain itu mereka juga menjadi watak yang penting untuk pengembangan penceritaan.

Manakala watak seperti Theo yang hadir ke gunung tersebut untuk mengambil gambar, muncul dengan lebih kerap dan menjadi rakan kepada Madeline. Walaupun tidak terlibat secara langsung semasa pengembaraan, namun hadirnya beliau membantu untuk memberi penceritaan yagn lebih menarik terutama bersama dengan watak Madeline. Pada masa yang sama membuatkan pemain lebih mengenali siapakah Madeline. Bahkan, watak Theo juga mempunyai jalan cerita sendiri yang menarik.

Sepanjang pengembaraan, perwatakan Madeline semakin terbuka dan perwatakan beliau semakin kaya. Pemain akan mula mengetahui permasalahan yang dihadapi oleh beliau yang menyebabkan beliau bersungguh-sungguh untuk mendaki gunung tersebut. Tambahan lagi, dengan kemunculan satu watak misteri yang menggelarkan dirinya sebagai “sebahagian daripada Madeline” akan membantu  pemain untuk memahami mengenai subjek utama yang cuba disampaikan melalui permainan ini.

Di akhir permainan, saya sangat menyukai setiap watak yang hadir, terutama watak Madeline. Setiap kesukaran yang dihadapi oleh beliau akan dirasai oleh pemain, setiap kekacauan di dalam jiwanya, pemain akan rasai. Watak yang ringkas tetapi sangat mendalam. Begitu juga jalan cerita yang cuba disampaikan, ringkas tetapi mempunyai mesej yang penting.

Bentuk Permainan

Celeste adalah permainan platformer, seperti permainan platformer yang lain ia akan menguji kecekapan dan juga ketelitian pemain untuk mengatasi setiap rekaan peringkat. Secara jujur, platformer bukanlah satu genre kegemaran saya. Saya sering mengalami masalah untuk menghabiskan sesuatu permainan platformer kerana terlalu sukar yang membuatkan saya merasa jengkel dengan permainan tersebut.

Namun, Celeste sangat berbeza. Rekaan peringkat yang disertakan sangat menarik dan sukar akan tetapi apabila gagal, permainan ini tidak membuatkan anda rasa marah atau jengkel sebaliknya ia membuatkan anda ingin terus dan terus mencuba. Secara keseluruhan terdapat 8 bab, dan ada 2 bab yang saya menyelesaikannya selepas mati lebih 1 ribu kali.

Antara sebab utama adalah, setiap peringkat direka dengan agak jelas, melalui beberapa percubaan pemain akan mula mengetahui apa yang perlu dilakukan. Namun, ia tidak langsung menjadikan ia mudah, sebaliknya anda akan mati dan terus mati sehinggalah akhirnya berjaya. Setiap kejayaan akan memberikan satu perasaan yang sangat puas.

Pergerakan utama pemain adalah melompat, memecut dan berpaut. Ketiga pergerakan ini bersama dengan pelbagai barangan yang akan mempunyai keupayaan yang berbeza akan membuatkan setiap peringkat adalah unik dan mempunyai cabaran yang tersendiri.

Selain cuba bergerak dari A ke B, permainan ini juga menyediakan pelbagai collectible yang boleh dikumpul oleh pemain. Setiap collectible ini akan mempunyai kesukaran tersendiri. Collectible Strawberry memerlukan pemain untuk menuju ke satu sudut yang mencabar, Kaset B-Side memerlukan pemain menuju ke tempat tersembunyi dan mempunyai rekaan peringkat yang berbeza manakala Crystal Hearts memerlukan pemain untuk menyelesaikan tekaria yang sangat menarik.

Walaupun setiap collectible tersebut adalah tidak diwajibkan, akan tetapi saya mengesyorkan anda sekurang-kurangnya mencuba untuk mendapatkannya kerana ia adalah sangat menarik. Namun, pemain juga diberikan peluang untuk mengumpul collectible tersebut selepas menyelesaikan bab tersebut.

Secara keseluruhan, tidak termasuk bab ke-8 iaitu bab tambahan jika anda mengumpul sekurang-kurangnya 4 Blue Hearts, saya mengambil masa 20 jam serta mati sebanyak 5430 kali dan mengumpul hanya 112 Strawberry berbanding 175 yang boleh dikumpul. Bagi saya, kandungan setakat itu sudah cukup untuk membuatkan saya mengatakan permainan ini sangat berbaloi untuk dibeli.

Namun, permainan ini terus memberi dan memberi. Jika anda merasakan permainan ini kurang mencabar, dengan mendapatkan Kaset B-Side bagi sesuatu bab, anda dapat bermain peringkat berbeza untuk bab tersebut dan bab ini jauh lebih mencabar berbanding yang asal. Ia bagaikan satu permainan baharu yang disertakan dengan permainan ini. Jika anda menyelesaikan B-Side untuk kesemua bab, C-Side juga akan dibuka akan tetapi ia lebih pendek tetapi tetap mencabar.

Selain itu, tersedia juga Pico-8 yang merupakan permainan rekaan awal untuk permainan ini yang pemain boleh cuba selepas menjumpai di sesuatu bab yang ia disembunyikan.

Saya sangat kagum dengan pengisian yang disertakan di dalam permainan ini. Bagi anda yang menggemari permainan platformer, jumlah cabaran yang disertakan boleh dikatakan sebagai impian yang menjadi realiti.

Bagi anda yang ingin bermain permainan ini dengan lebih mudah, ia juga menyertakan assist mode, yang membolehkan anda mengubah beberapa tetapan permainan seperti kelajuan, stamina dan juga melangkau sesuatu bab jika ia sangat sukar. Walaupun saya tidak pernah menggunakannya, akan tetapi ia adalah sesuatu yang baik untuk disertakan di dalam permainan yang sukar seperti ini.

Secara keseluruhan saya boleh katakan, bentuk permainan serta kandungan permainan yang disertakan di dalam permainan ini sangat membuatkan saya kagum. Bukan sahaja dari segi jumlah, tetapi juga dari segi kualiti.

Grafik

Celeste menggunakan seni pixel yang mempunyai keunikan tersendiri. Penggunaan warna yang terang dan pelbagai sangat bersesuaian dengan dunia yang cuba disampaikan melalui permainan ini. Di beberapa bahagian permainan juga akan menjadi lebih seram, dan perubahan rekaan persekitaran dan warna memberikan perasaan yang tepat.

Seperti yang saya terangkan di atas, Celeste adalah mengenai Madeline mengembara untuk menuju ke puncak gunung, oleh disebabkan itu setiap peringkat adalah di satu kawasan yang berbeza. Permainan ini berjaya menghasilkan persekitaran untuk setiap peringkat dengan unik yang membuatkan saya tidak merasa bosan dan sangat kagum dengan setiap rekaannya.

Oleh disebabkan permainan ini boleh menjadi sangat pantas dan keadaan persekitaran terutama latar belakang yang sangat terang serta serabut serba sedikit mengganggu tumpuan yang boleh menyukarkan lagi sesi permainan. Saya tidak pasti jika itu adalah niat asal pembangun, tetapi saya merasakan jika ia direka dengan lebih kemas mungkin lebih baik untuk pengalaman permainan. Namun, ia adalah perkara yang kecil.

Saya bermain permainan ini di Nintendo Switch dan tidak mengalami sebarang masalah dari segi kelancaran termasuk juga apabila dimainkan di TV. Namun, disebabkan permainan ini memerlukan ketelitian, bermain secara mudah alih akan lebih memudahkan kerana bermain di TV mungkin lebih menyukarkan anda untuk melihat permainan terutama warna yang digunakan agak terang. Permainan ini yang juga dikeluarkan untuk konsol lain, sudah semestinya tidak mempunyai sebarang masalah di platform-platform tersebut.

Audio

Sepanjang permainan ini, pemain akan ditemani dengan muzik latar yang sangat segar. Muzik tersebut juga memberi mood yang bersesuaian dengan setiap bahagian permainan ini. Ada ketika, muzik yang sering didengar oleh pemain semasa keadaan yang tenang, diubah dan dicampur dengan muzik lain memberikan perasaan bercampur baur yang menggambarkan perasaan Madeline pada waktu itu.

Kesan bunyi juga dilakukan dengan baik, selain memberi impak kepada setiap pergerakan ia juga membantu pemain untuk mengagakkan masa untuk melakukan sesuatu pergerakan. Saya agak kecewa dengan cara penyampaian dialog, ia menggunakan bunyi yang tidak dapat difahami dan sekadar perlu membaca teks. Satu yang positif adalah walaupun bunyi tidak difahami akan tetapi nada bunyi tersebut menggambarkan seperti percakapan biasa. Mungkin ia lebih bersesuaian dengan permainan ini berbanding menggunakan suara yang betul.

Kesimpulan

Celeste adalah satu permainan platformer yang tidak mengorbankan penceritaan demi memfokuskan kepada cabaran bentuk permainan. Sebaliknya ia menyertakan satu jalan cerita yang kuat dan watak yang menarik.

Bersamanya, ia juga mempunyai bentuk permainan yang padat dengan pelbagai cabaran serta rekaan peringkat yang unik. Selepas menyelesaikan permainan, pemain akan terus disajikan dengan pelbagai kandungan tambahan yang terus memberi cabaran.

Rekaan grafik dan audio yang dilakukan dengan baik berjaya mengangkat permainan ini ke satu peringkat yang lebih tinggi dan menjadikan keseluruhan pengalaman bermain permainan ini sesuatu yang tidak akan dilupakan. Saya berani mengatakan, ia adalah antara permainan platformer terbaik yang pernah dikeluarkan.

Leave a Reply