Sebelum ini, kami ada berkongsikan berkenaan permua yang dibangunkan oleh studio pembangun dari Malaysia, Streamline Games dimana mereka melancarkan permainan mudah-alih (permua) mereka iaitu Nightstream.

Nightstream merupakan permua yang memfokuskan bentuk permainan secara pelarian tanpa had. Ianya mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan permainan pelarian tanpa had yang lain seperti Subway Surfer ataupun Temple Run.

Namun, melalui Nightstream, Streamline Games bukan sahaja menghasilkan satu bentuk pelarian tanpa had yang baru, malah mereka mengubah genre permainan tersebut kepada sesuatu yang lebih sukar dan pada masa yang sama menarik.

Permua tersebut, akhirnya dilancarkan secara rasmi 15 September lepas buat iOS dan Android. Melalui ulasan ini, kami mainkannya di peranti Android OnePlus 6 dimana ianya dimainkan dengan baik sekali. Berikut adalah ulasan penuh kami untuk permua Nightstream.

Cerita

Penceritaan permua ini merupakan satu kelemahan utama buat permua ini. Bukan sahaja ianya tidak menarik, malah pada pemulaan sesi permainan saya, saya tidak langsung mengambil hirau sebarang penceritaannya kerana ianya berasa agak mendatar.

Nightstream meletakkan pemain sebagai seorang peluncur dari kumpulan Axon Runner dimana pemain akan mengembara bersama Julio. Disitu, Julio akan menyertakan papan luncur terapung buat pemain, dan pemain akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Melaluinya, pemain akan menyelesaikan sebilangan misteri yang berlaku terhadap kumpulan tersebut.

Asasnya, penceritaan permua ini sememangnya nampak menarik dengan ilustrasi komik yang sangat menawan. Bukan sahaja ianya memaparkan lukisan yang cantik, malah dunia yang dipaparkan sangat menarik dengan dunia ala Cyberpunk.

Namun ianya terhad setakat itu sahaja, kerana dari segi cara penyampaian dengan adegan penceritaan tanpa sebarang muzik atau muzik efek, membuatkan ianya menjadi bosan. Bukan sahaja ianya tidak mempunyai sebarang suara latar, malah cara penyampaian penceritaannya hanya terhad kepada kotak teks dialog antara watak-watak di dalam permua tersebut.

Walaupun begitu, permua ini sememangnya boleh dihabis kurang daripada sejam sahaja kerana ianya hanya mempunyai 7 peringkat permainan sahaja. dimana setiap peringkat mengambil masa lebih kurang 5 minit untuk dihabiskan. Sekaligus, ianya mungkin sesuai buat mereka yang ingin bermain permua yang mempunyai penceritaan yang pendek.

Akan tetapi, apa yang saya kurang gemar adalah penceritaan di dalam permua ini tergantung dan ketika saya menghabiskan penceritaannya, Nightstream meletakkan adegan “Akan Bersambung”, dan ianya mungkin akan merosakkan pengalaman anda bagi anda yang ingin mengetahui pengakhiran permainan ini.

Grafik

Visual grafik permua ini sememangnya dihasilkan dengan baik sekali. Bukan sahaja rekaan watak yang menarik bersama-sama dunia permainan yang menawan, malah setiap rekaan pentas permainan dihasilkan dengan rekaan ala cyberpunk yang pasti membuat anda teruja.

Visual efek yang dipaparkan juga dihasilkan dengan baik sekali dan ianya sangat seronok dimainkan di peranti telefon pintar. Ketika saya bermain di peranti OnePlus 6, saya tidak mengalami sebarang kecacatan dan keseluruhan sesi permainan saya dimain dengan baik tanpa sebarang pepijat.

Selain itu, permua ini juga memberi sebilangan pengubah-suai kepada pemain. Pemain bukan sahaja berupaya untuk menukar papan luncur pemain, malah pemain berupaya untuk menggunakan 3 watak berlainan.

Streamline Games juga menghasilkan satu watak khas bertudung iaitu Zara. Menariknya, rekaan watak tersebut dihasilkan dengan rekaan Cyberpunk yang sangat menarik sekali. Dua lagi watak lain iaitu Leto dan Roxy juga mempunyai rekaan yang sangat bagus.

Pemain juga diberi pilihan untuk menukar papan luncur dan sememangnya setiap papan luncur tidak mempunyai sebarang kesan dari segi bentuk permainan dan hanyalah sebuah kosmetik. Walaupun begitu, setiap rekaan yang dihasilkan buat papan luncur tersebut juga sangat cantik. Terdapat sebilangan papan luncur yang boleh dinyahkunci melalui bermain mod penceritaan, dan terdapat juga papan luncur yang  boleh dibeli dengan menggunakan mata wang permua tersebut.

Bercakap berkenaan kosmetik permainan, permua ini sememangnya mempunyai sebilangan mikro-transaksi yang akan saya kongsikan di bentuk permainan dibawah.

Audio

Dari segi audio, permua ini sememangnya mempunyai muzik yang sangat memuaskan. Bukan sahaja muzik techno di dalam permua ini sesuai dengan dunia permainan tersebut, malah dari segi bentuk kawalan, muzik di dalam permua ini seolah bergerak secara seiring dengan permua tersebut.

Walaupun begitu, dari segi audio buat sebahagian daripada bentuk permainan yang lain, ianya agak mengecewakan. Seperti yang kami kongsikan di atas, ketika adegan penceritaan melalui komik di dalam permua ini, Streamline Games tidak langsung meletakkan sebarang muzik mahupun suara latar. Sekaligus ketika sesi tersebut, ianya agak membosankan.

Bentuk Permainan

Semestinya, perkara utama buat permua ini adalah bentuk permainannya. Apa yang saya boleh katakan adalah, bentuk permainan buat Nightstream adalah apa yang membuat permua ini sangat menarik.

Bukan sahaja ianya mempunyai bentuk kawalan yang sangat responsif, malah ianya sangat sukar dan pasti buat penggemar permainan yang pantas seperti Sonic Mania mahupun permainan pelarian tanpa had yang lain menyukainya.

Apa yang membezakan Nightstream dengan permua pelarian tanpa had yang lain adalah, permua ini tidak menggunakan aspek barisan di dalam permainan malah pemain akan berada dalam keadaan bebas di seluruh sesi permainan. Ini bermakna pemain boleh bergerak sesuka hati dengan lebih bebas dan bukan sahaja meluncur di tanah, malah pemain boleh meluncur di atas siling ataupun di dinding.

Bentuk ini bukan sahaja menghasilkan sesuatu yang baru di dalam genre permainan pelarian tanpa had, malah menghasilkan satu bentuk cabaran yang baru buat mereka yang ingin sesuatu yang berlainan buat permainan bergenre tersebut.

Dari segi kawalan pula, permua ini menggunakan bentuk bermain secara bentuk landskap dan kawalan menggunakan kedua-dua ibu jari pemain. Namun, dari segi bentuk kawalan, kedua-dua bahagian tersebut mempunyai kawalan yang sama dan jika pemain ingin bermain secara sebelah tangan, ianya juga boleh dimain. Namun pada pendapat saya, ianya direka khas untuk dimainkan secara kedua-dua belah tangan.

Untuk mengawal watak pemain di dalam Nightstream, pemain hanya perlu menolak di skrin sesentuh tersebut seolah mengawal kebanyakkan permua-permua lain dengan peranti telefon pintar. Pemain juga berupaya untuk melompat dengan mentatal ke atas skrin tersebut. Melaluinya watak pemain tersebut berupaya untuk meluncur bukan sahaja di dinding, malah melakukakan pelbagai lagak yang menarik.

Selain daripada meluncur dari permulaan peringkat permainan sehingga akhir, pemain juga berupaya untuk mengumpul orb-orb yang terdapat sepanjang peringkat permainan dimana melaluinya, pemain berupaya untuk mendapatkan markah yang lebih untuk sesuatu peringkat.

Selain daripada itu, sepanjang peringkat permainan, permua ini mempunyai pelbagai jenis halangan dengan sebanyak 7 peringkat permainan yang berbeza. Menariknya, setiap satu peringkat tersebut juga mempunyai 3 jenis ujian yang berbeza dimana setiap satunya mempunyai cabaran yang semakin sukar buat pemain.

Sekaligus, dengan cabaran yang semakin sukar, pemain juga berupaya untuk mendapatkan sebilangan kuasa kemahiran yang terdapat di sepanjang peringkat permainan tersebut juga. Terdapat pelbagai jenis kuasa kemahiran seperti magnet, yang mana ianya akan mengambil orb terdekat ataupun peluru berpandu dimana ianya akan menyerang dron musuh.

Bercakap berkenaan dron musuh, pemain juga akan bertempur dengan sebilangan dron-dron yang akan menyerang musuh di dalam setiap peringkat permainan. Ianya selalunya bertempatkan di ujian ke-3 di setiap peringkat dan pemain juga mempunyai nilai nyawa yang mana pemain boleh mengenal pasti tahapnya dengan melihat keadaan kerosakkan papan luncur pemain.

Secara amnya, permua ini mempunyai bentuk permainan yang sangat sukar, ianya bukanlah satu permua yang pemain akan terus bermain tanpa sebarang latihan. Tidak dapat dinafikan ketika saya bermula bermain permua ini, saya menghadapi sedikit kesukaran dan sering kalah di setiap peringkat permainan dan berasa agak tidak berpuas hati dengan bentuk permainannya.

Namun, setelah saya bermain berulang kali, saya menjadi semakin bagus dengan bentuk permainannya dan segala kawalan menjadi satu aliran yang mudah buat saya.

Tetapi, dengan bentuk begini, saya berasa permua ini bukanlah satu permua yang mudah buat permain baru malah ianya tidak sesuai langsung buat mereka yang ingin bermain permua yang ringkas seperti permainan pelarian tanpa had yang lain.

Selain dari mod penceritaan, permua ini juga menyertakan mod “Nightstream” yang mana ianya seakan mod tanpa had yang pemain boleh terus meluncur sehingga nilai nyawa pemain kehabisan. Mod ini juga sangat menarik kerana bukan sahaja pemain akan mengumpul orb untuk mendapat markah yang tinggi, malah setiap 150 orb yang dikumpul, pemain boleh menukarkannya dengan nilai Axon, untuk digunakan buat pemain untuk membeli barangan-barangan kosmetik yang terdapat di dalam permua ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa permua ini mempunyai bentuk mikro-transaksi seperti permua-permua lain, namun ianya tidaklah begitu sukar untuk mengumpul nilai Axon tersebut jika dimainkan berulang kali untuk membeli barangan-barangan yang terdapat di dalam permua ini.

Rumusan

Akhir kata, permua ini adalah sangat menarik sekali. Bukan sahaja ianya mempunyai bentuk permainan pelarian tanpa had yang baru, malah ianya sangat sukar dan pada masa yang sama, cabaran tersebut menghasilkan satu bentuk yang sangat mengasyikkan.

Walaupun begitu, hasil daripada bentuk kawalan yang sukar, ianya juga memberi satu tekanan yang berat dan negatif buat pemain baru, terutamanya buat mereka yang ingin mencari permua yang kasual.

Dari segi visual, ianya adalah salah satu permua yang sangat menarik dengan rekaan dunia Cyberpunk yang sangat mendalam bersama dengan watak-watak yang sangat menarik dan pasti antara satu permua dari pembangun Malaysia yang harus diberi sokongan.

Muat-Turun iOS : Nighstream

Muat-Turun Android : Nighstream

Sohor Kini