Ketika acara Visual Arts Expo 2018 (VAX 2018) yang berlangsung hujung minggu lepas, kami berpeluang untuk mencuba satu permainan mudah-alih (Permua) yang dibangunkan oleh studio pembangun permainan tempatan, iaitu Streamline Studios.

Permua bernama Nightstream  tersebut merupakan permua bentuk seakan pelarian tanpa had seperti Subway Surfer dan Temple Run namun ia mempunyai sebilangan bentuk permainan yang berbeza dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik.

Nightstream meletakkan pemain sebagai seorang peluncur dengan menaiki papan luncur terapung (Hoverboard) dimana pemain perlu mengelak sebarang halangan dan juga menggunakan kuasa untuk memusnahkan halangan tersebut bersama musuh-musuh yang pemain akan hadapi.

Menariknya, permainan ini tidak seperti kebanyakkan permainan pelarian tanpa had yang lain dimana watak permainan hanya dihadkan mengikut barisan yang tersedia sahaja. Namun melalui Nightstream, pemain berupaya untuk meluncur hampir kesemua platform yang tersedia termasuklah di siling bangunan. Ianya bukan sahaja memberi kebebasan buat pemain, malah bentuk permainan yang sangat menarik dan lebih mencabar.

Setiap kawasan permainan ini juga mempunyai sebilangan cabaran yang berbeza dimana pemain akan bermain secara berperingkat. Setiap peringkat dikenali sebagai Mach, dan ianya akan berubah menjadi lebih sukar yang mana pasti akan menghasilkan satu cabaran yang sangat menarik buat pemain.

Selain itu, pemain juga boleh mendapatkan sebilangan kuasa serangan yang pemain boleh gunakannya untuk menjatuhkan musuh ataupun halangan. Ini kerana papan luncur pemain mempunyai nilai ketahanan sehingga 3 kali kerosakkan sahaja. Sekaligus, pemain sentiasa perlu memastikan musuh ditewaskan dan pada masa yang sama mengelak sebarangan halangan ataupun serangan musuh.

Namun, perkara yang sangat penting bagi saya adalah kawalan permainan yang mana Streamline Studios menghasilkan satu permua yang sangat responsif. Setiap pergerakkan yang dikawal melalui skrin sesentuh peranti tersebut dan setiap kali saya menggerakkannya menggunakan jari saya, setiap pergerakkan berasa sangat menyegerak dan sekaligus ia menghasilkan satu bentuk permainan yang menyeronokkan campur dengan kelajuan papan peluncur terapung yang pasti akan membuat anda seronok bermain.

Permua ini juga menyertakan sebilangan mod pencapaian yang mana pemain boleh melakukannya untuk mendapat sebilangan ganjaran tambahan. Menariknya, menurut Izzal Amaani, penerbit permua tersebut menyatakan bahawa pemain juga berupaya untuk mengubah-suai papan luncur dan juga watak dengan pelbagai pengumbah-suaian dan aksesori yang pemain boleh dapatkan ketika bermain permua ini.

Izzal Amaani juga menyatakan bahawa permua ini mempunyai penceritaan yang mana pemain perlu menyelematkan rakan di dalam watak penceritaan ini di dalam dunia penstriman data tersebut. Menariknya juga, penceritaan permua ini dihasilkan dalam bentuk komik.

Pada pendapat saya, permua ini sememangnya satu permua yang sangat menarik untuk dimainkan. Bukan sahaja bentuk permainannya yang pantas dan mencabar malah ianya mempunyai konsep penceritaan yang sangat menarik. Sebagai satu permainan yang dihasilkan oleh pembangun tempatan, ini adalah peluang anda untuk memberi sokongan terhadap mereka.

Nightstream merupakan permua yang dibangunkan oleh Streamline Studios sendiri, iaitu pembangun permainan yang bertempatkan di Malaysia. Menurut mereka, Nightstream bakal tiba di iOS dan Android secara percuma pada 15 September ini.

Sohor Kini