Informasi Permainan Video Terkini
5 Panduan Sebelum Anda Bermula Main Marvel’s Spider-Man

5 Panduan Sebelum Anda Bermula Main Marvel’s Spider-Man

Diterbitkan pada Sep 7, 2018 oleh .

Bagi pemain yang membeli secara digital ataupun menghadiri acara pelancaran tengah malam untuk permainan Marvel’s Spider-man, kemungkinan besar anda sedang bermain ketika artikel ini dikeluarkan.

Walaupun di bahagian tajuk saya meletakkan sebagai panduan, namun, ia lebih berdasarkan pengalaman permainan saya dan tidak semestinya harus diikuti. Ini adalah kerana setiap pemain mempunyai cara permainan tersendiri.

Bagaimanapun saya yakin beberapa panduan di bawah akan menjadikan pengalaman anda bermain lebih baik. Oleh itu, berikut adalah 5 panduan sebelum anda mula bermain Marvel’s Spider-man.

Ambil masa anda untuk menghabiskan penceritaan utama

Marvel’s Spider-man merupakan permainan dunia terbuka yang mengandungi pelbagai misi dan aktiviti serta tempat yang boleh dijelajahi oleh pemain. Walaupun penceritaan di dalam permainan ini adalah menarik tetapi saya sangat mencadangkan agar anda mengambil masa untuk menghabiskannya.

Berbanding permainan dunia terbuka yang lain, saya boleh katakan penceritaan utama permainan ini tidaklah panjang. Berdasarkan pengalaman saya sendiri ia adalah dalam lingkungan 15 hingga 16 jam. Jika anda memfokuskan penceritaan utama sahaja, mungkin anda tidak akan dapat sepenuhnya mendalami dunia permainan ini.

Luangkan masa untuk menyelesaikan misi dan aktiviti sampingan

Jika anda ingin mengambil masa untuk menghabiskan penceritaan utama seperti panduan di atas, saya cadangkan anda luangkan masa tersebut untuk menyelesaikan misi dan aktiviti sampingan yang akan memenuhi peta permainan ini.

Permainan ini tidak akan membuka kesemua misi dan aktiviti secara serentak sebaliknya berperingkat mengikut perkembangan penceritaan utama. Oleh disebabkan itu, anda seharusnya tidak menunda terlalu lama untuk melakukan sesuatu misi dan aktiviti sampingan. Jika terlalu lama mungkin anda merasakan ada terlalu banyak aktiviti yang perlu diselesaikan.

Pada pendapat saya, aktiviti yang harus dilakukan segera adalah Surveillance Towers kerana dengan menyelesaikan misi ini, ia bukan sahaja membuka peta yang disorok, tetapi ia juga akan menunjukkan tempat-tempat untuk aktiviti lain. Selain itu, aktiviti Base dan Crimes juga harus dilakukan dengan segera kerana jumlahnya akan bertambah sepanjang permainan.

Selepas beberapa misi utama, Spider-man sendiri akan menyatakan bahawa beliau mempunyai masa lapang, itu adalah masa terbaik untuk anda menyelesaikan misi dan aktiviti sampingan ini.

Fokuskan gajet dan skill yang anda kehendaki sahaja terlebih dahulu

Jika anda seorang yang suka menyelesaikan permainan secara sempurna, sudah semestinya anda ingin untuk nyah-kunci gajet dan tahapnya serta kesemua skills secara penuh.

Untuk nyah-kunci memerlukan token yang diperoleh dengan menyelesaikan aktiviti sampingan jadi jumlah yang anda ada bergantung kepada jumlah aktiviti yang anda selesaikan. Manakala skills akan menggunakan skill points yang diperoleh setiap kali Spider-man meningkat tahap.

Pada awal permainan lagi saya akan melihat kesemua gajet dan skill terlebih dahulu dan memilih berdasarkan cara pertempuran yang saya inginkan, mungkin anda tidak pasti pada awalnya akan tetapi selepas beberapa pertempuran mesti anda akan mengetahui cara terbaik yang anda inginkan.

Sebagai contoh untuk gajet saya menggemari Impact Web dan Web Bomb. Dua gajet ini mempercepatkan saya untuk menyekat pergerakan penjahat. Disebabkan itu saya memfokuskan token untuk meningkatkan tahap dua gajet tersebut.

Untuk skills, saya lebih memfokuskan kebolehan yang akan membantu untuk memudahkan merampas senjata dari penjahat. Namun, sudah semestinya ia berbeza untuk anda. Jadi pastikan anda melihat gajet dan skills secara keseluruhan terlebih dahulu dan bukan sekadar membuka mengikut mana yang boleh dibuka.

Sentiasa dengar perbualan Spider-man dengan watak lain ketika sedang mengembara

Spider-man adalah seorang adiwira yang sangat sibuk, beliau perlu pergi ke banyak tempat untuk mengekalkan status beliau sebagai “friendly neighborhood”. Disebabkan itu banyak perbualan Spider-man bersama dengan watak-watak lain seperti Mary Jane dan Yuri Watanabe berlaku melalui panggilan telefon.

Jika anda bermain tanpa menggunakan fon kepala atau fon telinga, saya mencadangkan agar anda membuka sari kata supaya anda tidak terlepas apa yang diperkatakan oleh mereka.

Perbualan mereka walaupun tidak penting sehingga membuatkan anda tidak faham dengan penceritaan akan tetapi tetap mempunyai penambahan tersendiri untuk penceritaan. Selain itu, perbualan mereka juga agak menarik dan mempunyai pelbagai jenaka terutama Spider-man yang seperti kita kenali seorang yang suka membuat lawak.

Terdapat juga radio yang disampaikan oleh J.J. Jameson, ia agak menarik untuk didengar pada awal akan tetapi anda boleh menutupnya kerana ia agak menjengkelkan setelah lama mendengar. Ini boleh dilakukan menggunakan tetapan yang disediakan.

Elakkan menggunakan kostum pelik semasa misi utama

Di dalam permainan ini, terdapat 27 kostum yang boleh digunakan oleh pemain (selepas nyah-kunci), dan daripada 27 kostum tersebut terdapat 3 ataupun 4 sahaja yang boleh dikatakan sebagai kostum biasa. Selebihnya kostum yang mempunyai rekaan yang menarik tetapi agak janggal untuk digunakan.

Kostum yang anda gunakan akan turut menjadi kostum yang dipakai semasa adegan penceritaan. Kebanyakan adegan ini akan berlaku sebelum dan selepas menyelesaikan misi utama. Oleh disebabkan itu, anda haru elakkan daripada menggunakan kostum yang nampak terlalu ‘menarik’ kerana ia boleh mencacatkan adegan tersebut.

Bayangkan satu adegan yang serius sedang berlaku akan tetapi Spider-man anda sedang memakai kostum Spider-Punk. Walaupun nampak menarik tetapi tidak bersesuaian dengan adegan yang ada. Saya sering mencuba pelbagai kostum berlainan semasa melakukan aktiviti sampingan dan menukar balik ke kostum asal sebelum melakukan misi utama.

Jika anda berminat untuk melihat kesemua kostum yang ada, rakan kami Kakuchopurei ada berkongsi di penulisan mereka – All the Spider-man suits you can unlock.


Seperti yang saya katakan di atas, panduan ini adalah berdasarkan pengalaman saya bermain dan mungkin berbeza untuk anda. Marvel’s Spider-man adalah satu permainan dunia terbuka yang sangat baik, jika anda sedang bermain saya mengucapkan “sila berseronok menjadi Spider-man”.

Untuk anda yang sudah mencuba permainan ini, pastikan anda tinggalkan komen panduan ataupun pendapat anda mengenai permainan ini.

Ulasan Marvel’s Spider-Man – Permainan Dunia Terbuka Adiwira Yang Baik


TIPS & ULASAN