Pengarah permainan video dan pengasas Kojima Production Hideo Kojima membangkitkan isu kehilangan hak milik pengguna berikutan peralihan industri hiburan ke arah penstriman dan format digital sepenuhnya. Kebimbangan ini disuarakan semasa beliau bercakap di festival filem “Il Cinema in Piazza” di Itali, susulan keputusan PlayStation untuk menamatkan pengeluaran perisian fizikal menjelang tahun 2028.
“Ia telah diumumkan bahawa pada tahun 2028 pengeluaran perisian fizikal akan ditamatkan. Perkara ini sangat menyedihkan bagi saya yang membesar dengan media fizikal,” kata Kojima semasa sesi tersebut.
Menurut Kojima, peralihan industri daripada media fizikal kepada digital sedang berlaku dalam dua fasa utama. Fasa pertama melibatkan muat turun data secara terus ke dalam cakera keras peranti pengguna. Fasa kedua pula merupakan peralihan ke arah perkhidmatan penstriman sepenuhnya, menggunakan pendekatan yang sama seperti platform Netflix dan Amazon.
“Pada tahap ini, saya tidak akan memiliki apa-apa. Ia sama seperti apa yang kita ada di Netflix dan Amazon, di mana data berada di tempat lain di dalam sesebuah syarikat,” jelas beliau. Melalui model penstriman ini, pengguna tidak lagi mempunyai sebarang hak milik peribadi ke atas karya tersebut kerana kebenaran akses dikawal sepenuhnya oleh pihak yang memegang pangkalan data.
Beliau memberi amaran bahawa kawalan mutlak oleh syarikat persendirian mendedahkan pengguna kepada risiko kehilangan akses yang besar terhadap media yang mereka gemari.
“Terdapat risiko pada bila-bila masa, atas sebab komersial atau politik, syarikat ini boleh menghalang akses kepada data tersebut. Saya tidak akan dapat menonton filem itu atau bermain permainan video itu lagi,” tambahnya.
Sebagai tindak balas peribadi kepada senario ini, Kojima memaklumkan bahawa beliau kini sedang aktif membeli pelbagai media fizikal untuk memastikan karya-karya tersebut kekal dalam simpanannya. Walaupun peralihan drastik ini sedang bermula dalam industri permainan video, beliau menjangkakan trend penguasaan data digital yang sama akan menjejaskan industri perfileman pada masa akan datang.
Sumber: Genki


