Penerbit Level Infinite mengumumkan bahawa pra-pendaftaran untuk permainan video terbaru mereka, Gangstar Mirage City, kini dibuka secara rasmi untuk pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia. Permainan free-to-play ini dijadualkan untuk pelancaran awal pada 20 Ogos 2026 bagi iOS dan Android.

Khusus untuk pemain berumur 18 tahun ke atas, judul ini merupakan siri terbaru dalam francais Gangstar milik Gameloft yang kini berusia lebih 20 tahun dengan rekod melebihi 340 juta pemain berdaftar. Membawa genre multiplayer open-world action RPG, pembawaan mekanik dalam versi ini telah ditambah baik bersandarkan maklum balas daripada fasa pelancaran awal yang dilakukan di Filipina sebelum ini.

Gangstar Mirage City membawakan latar tempat sebuah metropolis masa hadapan yang menggabungkan kandungan naratif berstruktur dan sistem permainan terbuka yang dipacu oleh keputusan pemain sendiri. Antara aktiviti permainan yang disediakan termasuklah mod PvP arena seperti pertempuran kenderaan berasaskan pasukan, perlawanan bertahan sehingga pemain terakhir, dan pertempuran berorientasikan objektif. Selain itu, pemain boleh menjalankan misi rompakan bersama rakan, menguasai kawasan jajahan untuk menjana pengaruh serta pendapatan, dan mengakses sistem ubah suai kenderaan serta senjata.

Menerusi fasa pra-pendaftaran di laman web rasmi, kempen Global Vault Heist disediakan untuk membuka ganjaran dalam permainan secara berperingkat berdasarkan pencapaian jumlah pendaftar. Pemain boleh memilih untuk menyertai salah satu daripada empat paksi yang bertarung di dalam bandar tersebut iaitu The Family, O-Rage, The Ghosts, atau Jersey Boyz untuk menerima ganjaran avatar yang unik. Pengguna juga boleh merekrut sehingga tiga orang rakan ke dalam kumpulan mereka untuk menerima bonus tambahan.

Pendaftaran kini boleh diakses melalui laman web rasmi serta maklumat lanjut akan dikemas kini menerusi saluran Facebook, TikTok, YouTube, dan Discord rasmi permainan tersebut.

Leave a Reply