Sebelum ini, Nintendo mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan set ketiga buat siri permainan kadbod Nintendo Labo, iaitu Toy-Con 03: Vehicle Kit pada 14 September ini.

Sebelum ini, Nintendo juga berkongsi yang mana set tersebut boleh memainkan permainan Mario Kart 8 Deluxe dan kini, mereka berkongsi set Labo tersebut secara terperinci bersama-sama dengan kandungan permainan dan juga alat-alat kadbod yang disediakan.

https://www.youtube.com/watch?v=MJgQWOlbLnM

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum, set ini akan menyertakan tiga set kawalan yang mana ianya akan memfokuskan tiga kenderaan yang berbeza iaitu kereta, kapal selam dan kapal terbang.

Melalui ketiga-tiga set kawalan tersebut, pemain berupaya untuk menukarkan kenderaan secara langsung dan memilih kenderaan mana yang pemain ingin mengemudi dan memandu.

Menariknya juga, set Nintendo Labo ini juga akan menyertakan pelbagai bentuk permainan dan dunia permainan yang pemain boleh mengembara dari dunia kawasan sejuk, padang pasar dan pergunungan.

Menariknya, permainan ini juga menyertakan pelbagai jenis misi sampingan yang pasti akan membuat pemain terus bermain dan mengembara bersama-samanya untuk melengkapkan kesemua misi tersebut.

Tambahan juga, bagi mereka yang mempunyai set Variety Kit sebelum ini, pemain juga berupaya menggunakan set rekaan litar sendiri bersama permainan tersebut untuk bermain pelbagai mod permainan yang tersedia seperti perlumbaan litar, perlawanan bersama pemain lain dan sebagainya.

Selain itu, Nintendo juga menyertakan fungsi untuk pemain mewarnakan kenderaan-kenderaan pemain secara sendiri melalui set kadbod tin semburan. Melalui fungsi, pemain boleh menetapkan pelbagai bentuk warna dan rekaan yang menarik buat kenderaan-kenderaan pemain.

Selain itu, pemain juga boleh mengubah-suai dan mereka bentuk kawalan secara sendiri melalui mod Discover. Melaluinya, pemain berupaya untuk menggunakan pelbagai jenis barangan untuk menjadi sebagai penggati alat kawalan kadbod yang disediakan oleh Nintendo.

Tampaknya Nintendo kali ini menyertakan pelbagai kandungan buat Nintendo Labo yang pasti membuat mereka diluar sana berminat untuk mendapatkannya. Set Nintendo Labo Toy-Con 03: Vehicle Kit akan dilancarkan September ini dengan harga $69.99(~RM289).

Sohor Kini