Pada penghujung bulan lalu, Nintendo telah menyaman dua laman sesawang yang menyediakan fail ROM permainan konsol NES. Hari ini, satu lagi laman yang menawarkan fail ROM yang sama – mengeluarkan kenyataan di mana mereka akan mula menghentikan pengedaran fail ROM ini.
Menurut EmuParadise, iaitu laman sesawang tersebut – mereka masih lagi berminat dengan permainan-permainan yang retro dan klasik ini. Cuma kali ini, mereka tidak boleh tawarkan lagi permainan ini secara percuma.
Menurut mereka lagi, tujuan awal mereka bangunkan laman tersebut adalah untuk mereka yang ingin mengimbau kenangan silam dengan permainan retro. Sayang sekali, langkah Nintendo yang mula menyerang laman-laman ini – telah menghentikan niat baik EmuParadise.
Walau bagaimanapun, tindakan tersebut masih merupakan satu aktiviti cetak rompak dan ermainan-permainan ini semua adalah milik sah Nintendo, sekaligus mereka mempunyai hak milik terhadap permainan tersebut.
Tetapi kami menjangkakan ia dilakukan terutama disebabkan mereka bakal mengeluarkan kembali sekali lagi konsol NES Classic Edition dengan pelbagai permainan tambahan pada masa akan datang.