Skip to main content

Octopath Traveler merupakan permainan JRPG yang dibangunkan oleh Square Enix bersama Acquire dan diterbitkan secara eksklusif oleh Nintendo untuk Switch pada 13 Julai 2018 dan sudah diedarkan 1 juta unit selepas 3 minggu dikeluarkan.

Walaupun bukanlah satu sekuel, permainan ini dikatakan merupakan sambungan tidak langsung kepada permainan Bravely Default dan Bravely Second yang dikeluarkan secara eksklusif dan mendapat sambutan baik di 3DS. Berkongsi penerbit yang sama iaitu Tomoya Asano adakah Octopath Traveler dapat mengulangi kejayaan dua permainan tersebut?

Cerita

Octo adalah perkataan bahasa Latin yang membawa maksud nombor 8. Oleh itu, Octopath Traveler boleh disimpulkan sebagai 8 pengembara dan penceritaan adalah berdasarkan 8 watak utama permainan ini iaitu;

  1. Primrose adalah seorang penari yang sedang mencari pembunuh ayahnya
  2. Alfyn merupakan seorang dukun yang ingin mengembara untuk membantu pesakit di negeri lain.
  3. Tressa adalah anak kepada peniaga yang mempunyai impian untuk menjadi peniaga berjaya.
  4. Cyrus merupakan seorang pengajar yang gemarkan misteri. Mengembara untuk mencari buku yang hilang.
  5. Ophilia merupakan seorang paderi yang perlu mengembara untuk melakukan tradisi gereja.
  6. Olberic adalah bekas satria kepada sebuah negara, mengembara untuk mencari tujuan hidup baharu.
  7. H’aanit adalah seorang pemburu yang mengembara untuk mencari guru beliau yang bertahun tidak pulang selepas keluar memburu.
  8. Therion adalah seorang pencuri dan ditugaskan untuk mencuri tiga permata.

Boleh dikatakan kelapan-lapan penceritaan adalah satu penceritaan yang berasingan dan khas untuk watak tersebut sahaja dan setiap watak mempunyai sebab serta permasalahan mereka sendiri untuk mengembara dan juga memerlukan mereka bertempur. Mereka sekadar mengembara bersama, dan interaksi antara watak hanya terhad kepada Travel Banter.

Travel Banter agak menarik kerana pemain berpeluang untuk mendengar pendapat watak lain mengenai penceritaan watak-watak lain. Akan tetapi ia agak ringkas dan terhad kepada perbualan ringkas.

Bagi saya penceritaan yang terdapat di dalam permainan ini adalah terlalu biasa dan tidak membawa apa-apa yang menarik. Watak-watak ditulis dengan baik tetapi tidak mendalam, begitu juga watak-watak sampingan. Untuk permainan JRPG, Octopath Traveler sangat kekurangan dari segi penceritaan dan ini sedikit mengecewakan.

Selain penceritaan utama melalui 8 watak tersebut, terdapat juga penceritaan melalui misi sampingan yang pemain akan peroleh melalui sesetengah NPC yang terdapat setiap bandar. Penceritaan misi sampingan juga ringkas tetapi mempunyai keunikan tersendiri  dan sudah semestinya menjadikannya menarik untuk diselesaikan. Bahkan adan misi sampingan yang akan menjelaskan serba sedikit mengenai penceritaan 8 watak utama.

Bentuk Permainan

Pada permulaan permainan, pemain harus memilih satu watak, dan bandar tempat watak tersebut berada akan menjadi permulaan permainan ini. Selepas menyelesaikan bab 1 untuk watak pertama yang dipilih pemain boleh meneruskan pengembaraan menuju ke tempat watak-watak yang lain, walaupun ia adalah sekadar pilihan untuk pemain tetapi saya sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkan kesemua watak sebelum meneruskan penceritaan.

Setiap watak mempunyai kebolehan tersendiri yang dipanggil Job. Setiap Job akan memberikan kebolehan yang unik untuk watak itu sahaja. Kebolehan ini bukan sahaja berguna semasa melakukan misi utama tetapi turut boleh digunakan semasa mengembara dan untuk misi sampingan. Kebolehan ini adalah sesuatu yang menarik dan membuatkan pemain ingin mencuba kebolehan tersebut di setiap tempat agar dapat mendapat keputusan yang berlainan. Job yang ada adalah Hunter, Thief, Scholar, Dancer, Knight, Merchant, Apothecary dan Cleric.

Walaupun jelas Job tertentu mempunyai kebolehan tersendiri tetapi saya boleh katakan watak yang anda pilih untuk menjadi watak permulaan tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan watak lain yang anda boleh pilih.

Setiap watak mempunyai 4 bab penceritaan, setiap bab akan memerlukan pemain untuk menuju ke satu bandar yang tertentu. Apabila tiba ke bandar tersebut, penceritaan akan membawa pemain kepada tempat penjahat yang kebiasaan merupakan di dalam bangunan, hutan, pembetungan dan juga gua. Selepas melepasi tempat penjahat tersebut, pemain akan melawan ketua penjahat untuk bab tersebut. Setiap bab akan mengulangi perkara yang sama dan mungkin agak berulang. Namun disebabkan penjahat dan bos penjahat adalah berlainan termasuk juga penceritaan yang berbeza, ia tidak menjejaskan pengalaman saya.

Secara keseluruhan terdapat 24 bandar berbeza yang akan dilawati oleh pemain. Perjalanan ke setiap bandar tersebut akan mengambil masa akan tetapi apabila pemain sudah melawati bandar tersebut, pemain boleh melakukan perjalanan pantas pada bila-bila masa.

Semasa pengembaraan dan pertempuran, pada satu masa hanya boleh menyertakan 4 watak sahaja. Pemain boleh menukar watak yang ada dalam pasukan dengan melawat kedai minuman. Watak pertama yang anda pilih pada awal permainan tidak boleh ditukar sebaliknya perlu menggunakan watak tersebut sehingga berakhir penceritaan untuk watak itu.

Pertempuran di dalam Octopath Traveler kecuali ketua penjahat adalah secara rawak. Pemain akan mengembara dan akan bertempur secara mengejut dan tidak mempunyai pilihan untuk mengelak. Dengan menggunakan kebolehan tertentu pemain boleh mengurangkan kadar pertempuran. Selain itu, pemain juga boleh melarikan diri semasa bertempur tetapi saya merasakan anda tidak akan melakukannya.

Ia disebabkan pertempuran di dalam permainan ini adalah sangat menarik dan menyeronokkan. Seperti permainan klasik JRPG, permainan ini menggunakan sistem pertempuran yang mengikut urutan secara statik. Pemain tidak perlu risau untuk melakukan sesuatu dengan cepat.

Terdapat dua jenis serangan iaitu fizikal dan elemen untuk pemain dan juga penjahat. Serangan fizikal adalah menggunakan senjata seperti kapak, panah, pedang dan tongkat. Manakala elemen menggunakan magis seperti api, ais, kilat, angin, cahaya dan kegelapan. Jenis senjata dan elemen yang boleh digunakan oleh sesetengah watak adalah bergantung kepada jenis Job watak tersebut.

Pemain boleh memberikan satu lagi Job kepada setiap watak yang akan menjadi Job kedua. Ia membolehkan watak tersebut turut mempunyai senjata ataupun elemen dari Job yang lain. Pemain harus mencari Shrine untuk setiap Job yang ada agar membolehkan Job tersebut diberikan sebagai Job kedua. Setiap Job hanya boleh dijadikan sebagai Job kedua untuk satu watak sahaja pada satu masa.

Dunia permainan ini adalah terbuka, dari awal lagi pemain boleh mencari Shrine tersebut akan tetapi penjahat ataupun binatang yang terdapat di sekitar Shrine memerlukan anda mempunyai tahap tertentu. Saya mula mencari Shrine selepas menyelesaikan bab 1 untuk kesemua watak dan ia tetap mencabar.

Jenis senjata dan elemen yang digunakan adalah sangat penting kerana setiap penjahat akan mempunyai jumlah perisai tersendiri. Perisai ini hanya boleh dikurangkan dengan menyerang menggunakan jenis senjata atau elemen yang merupakan kelemahan untuk penjahat tersebut. Apabila perisai tersebut menjadi kosong, “Break” akan berlaku iaitu penjahat tersebut tidak boleh bergerak untuk satu pusingan dan setiap serangan terhadap penjahat tersebut akan menjadi lebih tinggi.

Setiap serangan elemen memerlukan Skill Point (SP), serangan fizikal yang biasa tidak memerlukan SP tetapi jika menggunakan Skill ia juga akan menggunakan SP.

Selepas satu pusingan selesai pemain akan menerima Boost Point (BP). terdapat 5 ruangan untuk BP yang pemain boleh simpan. Setiap satu BP boleh digunakan untuk meningkatkan jumlah serangan bagi serangan fizikal biasa. Contohnya, jika pemain mempunyai 1 BP, pada pusingan tersebut pemain boleh melakukan serangan fizikal biasa sebanyak 2 kali serentak dengan kata lain jika serangan tersebut adalah satu kelemahan untuk penjahat, perisai akan juga berkurang sebanyak 2 kali. Manakala untuk serangan menggunakan Skill dan elemen, BP boleh digunakan untuk meningkatkan tahap serangan.

Setiap kejayaan pertempuran akan memberikan pemain pengalaman, duit dan juga Job Point (JP). Pengalaman digunakan untuk meningkatkan tahap kebolehan watak manakala duit untuk membeli senjata ataupun perisai dan barangan lain. JP pula digunakan untuk menyah-kunci Skill bagi setiap watak.

Gabungan perisai, kelemahan, Skill dan juga BP memberikan satu pengalaman pertempuran yang sangat menarik. Pemain boleh melakukan pelbagai strategi untuk menumpaskan penjahat. Disebabkan setiap penjahat mempunyai jumlah perisai dan kelemahan yang berlainan, pemain harus menilai dan merancang setiap pergerakan untuk menghasilkan pertempuran yang efektif.

Walaupun sudah beratus pertempuran berlaku, saya tidak pernah merasa bosan dengan setiap pertempuran, Sentiasa ada strategi baru yang boleh digunakan untuk menghasilkan pertempuran yang berbeza. Bagi saya kekuatan permainan ini yang boleh membuatkan pemain terus bermain adalah sistem pertempuran yang disediakan.

Antara persoalan biasa mengenai permainan JRPG, adakah pemain perlu berusaha keras untuk meningkatkan tahap bagi mencapai tahap yang bersesuaian. Setiap bab untuk setiap watak akan mempunyai cadangan tahap yang berbeza. Pada pengalaman saya dengan memastikan setiap watak mencapai tahap tersebut sudah mencukupi.

Perkara lain yang menarik mengenai permainan ini adalah terdapat pelbagai kawasan yang perlu dilalui, selain itu terdapat juga pelbagai Shrine ataupun gua yang pemain boleh menjelajah. Setiap kawasan tersebut memberikan cabaran yang berbeza dan selain memberikan barangan yang baik ia juga membolehkan pemain menggunakannya untuk meningkatkan tahap setiap watak.

Berdasarkan permainan saya, tidak pernah saya bergerak tanpa tujuan semata-mata untuk bertempur agak dapat meningkatkan tahap. Sebaliknya sentiasa ada tempat yang ingin dituju dan juga kawasan yang ingin dijelajah. Ia sekaligus menjadikan satu pengalaman baik untuk meningkatkan tahap.

Selain itu, seperti yang saya sudah terangkan di atas Octopath Traveler juga mempunyai pelbagai misi sampingan yang boleh dilakukan oleh pemain. Selain untuk mendapatkan wang, ia juga boleh digunakan untuk menjadi aktiviti sampingan bagi meningkatkan tahap. Dengan pelbagai kandungan yang ada, anda sudah semestinya tidak akan kehabisan tempat atau aktiviti yang boleh dilakukan walaupun sekadar untuk meningkatkan tahap watak.

Grafik

Menurut pembangun, Octopath Traveler menggunakan grafik jenis “HD-2D” yang menggabungkan rekaan watak 16-bit seperti permainan lama dengan persekitaran yang direka dengan lebih mendalam. Pada pandangan pertama mungkin ramai yang menganggap rekaan grafik permainan ini ketinggalan zaman tetapi saya tetap merasakan ia merupakan satu permainan yang sangat cantik.

Jika dibandingkan dengan grafik-grafik permainan terbaru sudah semestinya ia berbeza namun dengan permainan dan penceritaan yang cuba disampaikan oleh permainan ini, rekaan grafik yang digunakan sangat bersesuaian. Rekaan grafik yang lebih modem walaupun cantik akan mencacatkan pengalaman.

Bagaikan penceritaan wayang kulit dijadikan dalam bentuk animasi 3D. Walaupun lebih cantik tetapi dengan gaya penceritaan wayang kulit adakah ia lebih bersesuaian? Begitu juga dengan permainan ini.

Rekaan dunia di dalam Octopath Traveler juga dilakukan dengan baik dan teliti. Terdapat pelbagai kawasan yang mempunyai persekitaran yang berbeza seperti hutan, pasir, bandar dan lautan. Kesemua ini memberikan keunikan untuk setiap tempat dan menjadikan dunia di dalam permainan ini tampak luas.

Sepertimana permainan-permainan Switch yang lain, ia juga boleh dimainkan secara mudah alih ataupun di TV. Semasa di mudah alih tiada sebarang masalah dan kelancaran permainan adalah baik. Namun apabila dimainkan di TV dan memasuki satu bandar yang padat akan berlaku sedikit penurunan kelancaran tetapi tidak sangat menjejaskan pengalaman.

Audio

Muzik latar untuk permainan ini adalah satu perkara yang saya tidak berhenti memuji. Permainan JRPG dan termasuk juga Octopath Traveler mempunyai pengembaraan yang lama serta pertempuran yang banyak. Muzik memainkan peranan untuk menemani pemain semasa melakukan kesemua aktiviti tersebut dan ia dilakukan dengan cukup sempurna sehinggakan saya meningkatkan tahap bunyi untuk muzik latar dan mengurangkan bunyi lain.

Selain muzik latar untuk pengembaraan dan pertempuran, setiap watak juga mempunyai muzik tersendiri yang memberikan keunikan untuk setiap watak dan memberikan pengalaman yang berbeza. Namun perkara yang paling menarik adalah bagaimana muzik-muzik tersebut digabungkan untuk menghasilkan satu pengalaman muzik yang berterusan.

Octopath Traveler mempunyai pilihan suara watak dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Jepun. Saya mencuba keduanya tetapi boleh katakan lakonan suara untuk bahasa Inggeris adalah lebih baik kerana setiap watak mempunyai keunikan tersendiri yang tidak sangat diperlihatkan melalui suara watak dalam bahasa Jepun.

Lakonan suara yang dilakukan bagaikan persembahan teater dan sangat bersesuaian dengan rekaan grafik yang disediakan di dalam permainan ini. Penceritaan, rekaan grafik dan lakonan suara dihasilkan untuk saling melengkapi dan ia menghasilkan pengalaman yang sangat unik.

Rumusan

Octopath Traveler adalah satu permainan JRPG yang mempunyai 8 penceritaan berbeza tetapi setiap penceritaan dilakukan dengan secara ringkas dan agak mendatar. Namun, kekurangan dari segi penceritaan tidak sangat menjejaskan pengalaman permainan kerana bentuk permainan yang disediakan sangat menarik terutama dari segi sistem pertempuran yang membolehkan pemain menggunakan pelbagai strategi. Selain itu pengisian di dalam dunia permainan ini membantu menjadikan permainan tidak sedatar penceritaan.

Ini ditambah lagi dengan grafik yang memberikan satu kelainan untuk permainan ini, menggabungkan rekaan watak yang seperti permainan lama dan dunia yang lebih mendalam adalah satu yang sangat menyegarkan. Tambahan, muzik latar permainan ini yang boleh dikatakan sempurna dan persembahan suara latar yang bersesuaian dengan penceritaan dan grafik permainan ini menjadikan Octopath Traveler satu permainan yang memberikan pengalaman yang akan diingati untuk satu masa yang lama.

Leave a Reply