Konami minggu ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan kemaskini terbaru buat permainan Metal Gear Survive dengan kandungan baru. Menariknya, kandungan terbaru tersebut adalah kandungan daripada permainan Metal Gear sebelum ini iaitu Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriot dengan acara bertajuk Encounter 2014.

Ini bukanlah kali pertama kandungan permainan Metal Gear lain tiba buat Metal Gear Survive, dimana sebelum ini mereka juga menyertakan kandungan Metal Gear Solid 3: Snake Eater buat permainan tersebut.

Melalui kemaskini ini, Konami akan mengadakan acara khas bermula 31 Julai ini sehingga 14 Ogos ini dimana pemain berpeluang untuk mendapat sebilangan barangan seperti kostum Raiden dan kostum Haven Troopers, ataupun dikenali sebagai FROGS di dalam Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriots.

Selain itu, Konami juga menyertakan tanda nama Outer Haven, Otselotovaya Khvatka dan Metal Gear Rex. Menariknya juga, Konami juga akan menyertakan gerakan Eye Have You dan Guns Of The Patriots khas berdasarkan permainan Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriots.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan kandungan tersebut, jangan lepaskan peluang anda untuk bermain Metal Gear Survive bermula 31 Julai ini.

Sohor Kini