Informasi Permainan Video Terkini
Capcom Menyatakan Kenapa Resident Evil 2 Tidak Mempunyai Sokongan Realiti-Maya
PC

Capcom Menyatakan Kenapa Resident Evil 2 Tidak Mempunyai Sokongan Realiti-Maya

Diterbitkan pada July 24, 2018 oleh .

Antara pengumuman yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat iaitu Resident Evil 2 akhirnya diumumkan secara rasmi pada E3 2018 lepas yang mana ia bakal tiba pada Januari tahun hadapan.

Namun, mungkin ramai yang tetanya-tanya mengapa permainan tersebut tidak mempunyai sebarang sokongan realiti-maya seperti permainan Resident Evil sebelum ini oleh Capcom, iaitu Resident Evil 7: Biohazard yang dilancarkan pada awal tahun lepas.

Melalui temu bual oleh DailyStar, penerbit permainan tersebut Tsuyoshi Kanda dan Yoshiaki Hirabayashi menyatakan bahawa memandangkan permainan Resident Evil 2 memfokuskan kamera bentuk atas bahu, mereka beranggap bahawa pandangan realiti-maya tidak akan memberi hasil yang baik untuk mempersembahkan permainan tersebut. Mereka juga menyatakan bahawa realiti-maya tidak akan menyegerak dengan visi mereka untuk permainan tersebut.

Sekaligus, dengan kenyataan ini juga memastikan bahawa Capcom tidak akan melancarkan sebarang kemaskini realiti-maya untuk permainan tersebut pada masa akan datang. Ini mungkin juga merupakan satu pilihan yang menarik oleh Capcom, memandangkan dengan bentuk penembak pandang ketiga atas bahu tersebut, ianya mungkin akan membawa hasil nostalgia buat permainan asal Resident Evil 2 sebelum ini buat pemain berbanding paparan kamera penembak pandang pertama.

Resident Evil 2 merupakan permainan yang diolah semula daripada permainan asalnya Resident Evil 2 di Playstation 1 pada 1998 lepas. Ia kini bukan sahaja mempunyai bentuk permainan baru, malah ia mempunyai visual yang dinaik-taraf dan dibangunkan khas oleh Capcom. Permainan ini akan dikeluarkan pada 25 Januari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.

Selain itu, menurut Playstation Asia, permainan ini juga akan boleh dimainkan ketika acara Playstation Experience SEA 2018 yang bakal berlangsung Ogos ini di Bangkok, Thailand.


TIPS & ULASAN