SEGA telah mengumumkan SHINOBI: Art of Vengeance versi khusus untuk Nintendo Switch 2 akan tiba pada 24 September 2026. Seiring dengan pengumuman tersebut, tempahan awal untuk versi fizikal di pengedar terpilih serta versi digital menerusi Nintendo eShop kini telah dibuka.
Permainan bergenre 2D action platformer ini dibangunkan oleh Lizardcube, pasukan yang sebelum ini menghasilkan tajuk brawler popular Streets of Rage 4. SHINOBI: Art of Vengeance menampilkan estetika visual lukisan tangan dan memfokuskan kepada mekanik kombo serta aksi ninja. Jalan ceritanya mengikut kisah Joe Musashi, seorang master seni ninja yang memulakan misi balas dendam selepas kampung halamannya dibakar dan seluruh klan beliau ditukarkan menjadi batu. Judul ini juga pernah menerima pencalonan bagi kategori Best Action Game di acara The Game Awards 2025.



Bagi versi Nintendo Switch 2, pemain boleh membuat tempahan awal untuk Digital Deluxe Edition yang merangkumi permainan asas dan pakej Digital Deluxe Upgrade. Pakej tersebut mengandungi Starter Pack (kostum Ghost Outfit, Medic Lite Amulet, dan mata wang dalam permainan), kandungan tambahan (DLC) SEGA Villains Stage yang membabitkan pertarungan menentang karakter bos ikonik SEGA, serta buku seni digital dan runut bunyi. Kandungan SEGA Villains Stage ini juga akan dijual secara berasingan sebagai DLC pada hari pelancaran. Selain itu, sebarang tempahan awal untuk versi fizikal mahupun digital akan menerima bonus tambahan berupa Original Arcade Outfit dan Fortune Hunter Amulet.
SHINOBI: Art of Vengeance sebelum ini telah dilancarkan pada 29 Ogos 2025 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC.


