Informasi Permainan Video Terkini
Trailer Terbaru Marvel’s Spider-Man Dipertontonkan – Memperlihatkan Playstation 4 Edisi Terhad

Trailer Terbaru Marvel’s Spider-Man Dipertontonkan – Memperlihatkan Playstation 4 Edisi Terhad

Diterbitkan pada July 20, 2018 oleh .

Bersempena dengan acara Comic Con San Diego yang berlangsung minggu ini, Insomniac Games hari ini mempertontonkan trailer terbaru buat permainan Marvel’s Spider-Man dan pada masa yang sama mereka memperlihatkan Playstation 4 Pro dan Playstation 4 Slim edisi terhad.

Melalui trailer penceritaan baru ini, Insomniac Games memperlihatkan watak Silver Sable, iaitu seorang tentera upahan yang bakal menjadi satu lagi penghalang buat Spider-Man dimana Silver Sable diupah oleh Norman Osborn untuk menghentikan segala aktiviti adiwira Spider-Man.

Selain itu, Insomniac Games juga memperlihatkan watak Mary Jane Watson bersama-sama Miles Morales secara bersama dan mereka juga memainkan peranan penting sebagai pembantu Spider-Man di dalam permainan ini.

Insomniac Games juga tidak melepaskan peluang untuk memperlihatkan kostum ketiga buat Spider-Man iaitu kostum Velocity Suit yang mana ia merupakan kostum yang direka khas untuk permainan ini oleh Adi Granov, iaitu pelukis komik dan pereka watak.

Sekaligus, terdapat tiga kostum khas buat pengguna yang diumumkan termasuklah kostum Infinity War dan Spider-Punk yang diumumkan sebelum ini. Ketiga-tiga kostum tersebut boleh didapat melalui bermain permainan tersebut ataupun membuat pra-tempahan.

Selain daripada itu, Sony juga tidak melepaskan peluang untuk mengumumkan Playstation 4 edisi terhad permainan Marvel’s Spider-Man yang mana berkas ini tersedia dengan alat kawalan Dualshock 4 khas dengan rekaan berwarna merah bersama-sama dengan logo Spider-Man.

Menariknya, pihak Sony akan melancarkan kedua-dua versi Playstation 4 iaitu Playstation 4 Slim dan juga Playstation 4 Pro secara bersama. Namun dari segi pasaran Malaysia, pihak Sony masih belum lagi mengumumkan sebarang informasi tambahan buat pengguna tempatan. Seperti biasa, kami pasti Sony akan mengumumkannya dalam masa terdekat ini.

Marvel’s Spider-Man merupakan permainan aksi dunia terbuka yang dibangunkan oleh Insomniac Games untuk Playstation 4 secara eksklusif dan ia akan dilancarkan pada 7 September 2018 ini. Bagi anda yang berminat, ianya kini boleh dipra-tempah melalui pengedar rasmi Playstation dan kedai atas-talian Playstation Store bermula dengan harga RM199.


TIPS & ULASAN