Informasi Permainan Video Terkini
Nintendo Akan Terus Menyokong Pembangun Indie – Menyasar 30 Permainan Indie Setiap Minggu Untuk Switch

Nintendo Akan Terus Menyokong Pembangun Indie – Menyasar 30 Permainan Indie Setiap Minggu Untuk Switch

Diterbitkan pada July 10, 2018 oleh .

Nintendo baru sahaja mengeluarkan teks temubual semasa mesyuarat agung tahunan mereka bersama pelabur yang berlangsung pada Jun lepas. Semasa sesi temubual tersebut, ada pelabur yang menanyakan pendirian Nintendo untuk pembangun indie.

Presiden Nintendo masa itu Tatsumi Kimishima sebelum beliau digantikan oleh Shuntaro Furukawa pada akhir bulan Jun mengatakan mengeluarkan permainan mereka sendiri akan diteruskan sebagai kekuatan utama mereka akan tetapi dengan meningkatkan jumlah pembangun mengeluarkan permainan untuk platform Nintendo akan lebih menguatkan platform mereka.

Disebabkan itu mereka ingin menghasilkan satu persekitaran yang membuatkan pembangunan untuk platform Nintendo menjadi mudah dan juga memudahkan proses untuk menerbitkan permainan untuk konsol Switch. Ini secara langsung membuatkan ramai pemain yang bermain permainan indie di Switch.

Manakala pengawal eksekutif Nintendo Susumu Tanaka mengatakan ada beberapa permainan indie yang sudah terjual lebih sejuta secara global dan berharap di masa hadapan 20 hingga 30 permainan indie akan dikeluarkan untuk Switch setiap minggu dan mengatakan akan ada beberapa permainan yang hebat di antaranya.

Mereka juga ditanya mengenai permainan rentas platform dan Kimishima mengatakan beliau tidak akan bercakap mengenai fungsi rentas platform di dalam permainan seperti Fortnite dan Minecraft disebabkan ia bukan dibangunkan oleh Nintendo namun untuk permainan keluaran Nintendo mereka akan teruskan seperti mana yang dilakukan sekarang (eksklusif untuk platform Nintendo).

Manakala Tanaka mengatakan fungsi rentas platform adalah sesuatu yang harus dibincangkan oleh penerbit permainan dengan pemilik platform. Untuk Nintendo mereka akan terus menolong penerbit untuk menyediakan fungsi tersebut akan tetapi pihak lain juga memainkan peranan penting untuk memastikan perkara ini berlaku, disebabkan itu Nintendo akan terus berbincang dengan mereka.

Kami merasakan dengan keadaan sekarang 20 hingga 30 permainan indie setiap minggu adalah terlalu banyak dan boleh menyebabkan ada terlalu banyak permainan yang tidak berkualiti. Namun, sikap Nintendo yang terbuka untuk pembangun indie adalah sesuatu yang positif.


TIPS & ULASAN