Pada permulaan kami bermain The Witcher 3, misi Bloody Baron sudah cukup untuk membuatkan kami sangat-sangat kagum dengan penceritaan permainan tersebut. Misi ini mempunyai pelbagai watak dan plot yang menarik, bahkan sudah cukup untuk menjadi satu permainan tersendiri.
Semasa diumumkan di E3, Chris Avellone iaitu antara penulis terkenal untuk permainan RPG diumumkan sebagai penulis yang menyatakan fokus untuk permainan terbaru Dying Light akan memfokuskan kepada penceritaan dan pilihan pemain.
Selain itu Techland juga mengumumkan pasukan penulis yang menulis untuk The Witcher 3 seperti misi Bloody Baron turut terlibat dalam penulisan untuk permainan ini. Menurut Techland pilihan pemain bukan sahaja akan memberi kesan kepada penceritaan akan tetapi juga keadaan dunia dan persekitaran.
Dying Light yang pertama bagi kami merupakan satu permainan yang menarik terutama pertempuran dengan zombie akan tetapi agak lemah dari segi penceritaan. Dengan adanya pasukan penulis baru ini, kami berharap Dying Light 2 akan meningkat dari segi ini.
Buat masa ini, tarikh pelancarannya masih belum diumumkan dan menurut Techland, ia bukan sahaja bakal tiba di Xbox One, malah Playstation 4 dan PC.