Pengasas bersama dan ketua pengawal eksekutif Ubisoft Yves Guillemot melalui temubual bersama Variety berpendapat generasi seterusnya untuk konsol merupakan generasi terakhir. Jika mengikut kenyataan Sony sebelum ini, Playstation 4 sudah menghampiri fasa jangka hayat terakhir.

Ramai yang berpendapat generasi konsol baharu akan mula dikeluarkan pada tahun 2020 ataupun 2021. Guillemot mengatakan industri akan mendapat satu lagi generasi konsol tetapi secara berperingkat akan memperlihatkan pengurangan perkakasan dan penstriman akan lebih digunakan.

Tambah beliau ini akan membantu untuk industri permainan video AAA berkembang dengan lebih pesat. Beliau juga menegaskan industri perlu berusaha untuk memastikan permainan-permainan boleh di-akses dari mana-mana tempat dan jika dapat dimainkan di peranti pintar dan juga televisyen tanpa menggunakan konsol akan mengubah pelbagai industri.

Kami di Aksiz berkongsi pendapat beliau akan tetapi bukan dalam jangka masa yang terdekat, kemungkinan akan ada  2 atau 3 generasi konsol lagi sebelum industri bersedia untuk sepenuhnya menggunakan penstriman. Ini adalah kerana tidak semua tempat mempunyai sambungan internet yang cukup untuk strim permainan video tanpa masalah.

Kami juga berpendapat cara yang digunakan oleh Xbox iaitu Xbox Game Pass akan lebih dahulu digunakan secara meluas berbanding penstriman seperti PS Now yang disediakan oleh Sony. Apa pendapat anda?

Sohor Kini