CEO Sony Interactive Entertainment, John Tsuyoshi Kodera hari ini menyatakan bahawa konsol Playstation 4 kini semakin hampir ke fasa jangka hayat terakhir ketika acara Investor Relations Day 2018 di Tokyo, Jepun hari ini.

Menurut beliau, sejak tahun ini hasil penjualan perkakasan Playstation 4 agak berkurangan seperti yang kami laporkan sebelum ini dengan jangkaan jualan serendah 16 juta sahaja bagi tahun berikutnya. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa hasil pendapatan dari segi langganan seperti Playstation Plus masih lagi kukuh buat platform tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa hasil jualan Playstation VR juga agak rendah daripada apa yang mereka jangkakan. Walaupun ia masih lagi terjual, beliau menyatakan pada masa akan datang mereka akan memfokuskannya secara lebih realistik.

Selain itu, John Tsuyoshi Kodera juga menyatakan permainan pihak pertama merupakan komponen utama untuk membawa Sony ke hadapan dan menurut beliau, selain daripada penghasilan permainan baru, mereka juga akan mengembangkan lagi permainan sedia ada kepada francais baru ataupun mengemaskan semula permainan tersebut.

Menariknya, melalui laporan Polygon tersebut, John Tsuyoshi Kodera menyatakan menjelang 2021 ini, Playstation mungkin akan “berehat” untuk berkembang pada masa akan datang.

Walaupun dengan kenyataan tersebut, beliau tidak menyatakan sebarang pengumuman perkakasan baru seperti Playstation 5 mahupun sebarang konsol baru. Akan tetapi, tahun tersebut agak menarik dimana sebelum ini kami juga melaporkan bahawa tahun 2020 ke atas, konsol seterusnya dari Sony mungkin akan diumumkan.

Dengan kenyataan tersebut juga, sememangnya pihak Sony Interactive Entertainment akan terus menyokong konsol Playstation 4 sekurang-kurang sehingga tahun 2021 dan mungkin juga lebih dari itu.

Tambahan juga, John Tsuyoshi Kodera juga menyatakan bahawa mereka kini akan memfokuskan perkembangan pelanggan berbanding penjualan perkakasan dimana pada tahun 1994, mereka berharap untuk menjual 1 juta unit konsol, namun kini mereka berharap untuk memperoleh 100 juta pengguna aktif PSN (Playstation Network) bulanan.

Dengan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh John Tsuyoshi Kodera, kami di Aksiz juga percaya bahawa jualan Playstation 4 kini berada di tahap kemuncak dan mungkin pada masa akan datang, hasil jualan tidak akan meningkat seperti tahun-tahun sebelum ini. Namun, ini juga tidak bermakna bahawa Sony akan membawa konsol seterusnya pada masa terdekat. Memandangkan masih lagi terdapat banyak permainan pihak pertama yang masih belum dilancarkan (Death Stranding, The Last Of Us Part II, Days Gone), kami percaya fasa terakhir yang dimaksudkan oleh beliau mungkin akan mengambil masa beberapa tahun lagi dan pihak Sony akan terus menyokong konsol Playstation 4 sekurang-kurangnya sehingga tahun 2021.

Sohor Kini