Permainan terbaru dari pembangun Life is Strange DONTNOD Entertainment iaitu Vampyr akan dikeluarkan pada 5 Jun nanti. Beberapa trailer sudah dikeluarkan akan tetapi jika anda masih tidak pasti mengenai permainan ini, DONTNOD melalui penstriman lansung bermain Vampyr selama hampir sejam.
Sudah semestinya video ini akan ada spoiler akan tetapi menurut mereka spoiler yang ada tidaklah penting kepada penceritaan penuh. Video ini memperlihatkan permainan dalam lingkungan 6 jam masa permainan dan memperlihatkan pelbagai sistem untuk Vampyr dan juga ekosistem setempat.
Pemain boleh memilih membunuh sesiapa sahaja di dalam bandar ini dan berdasarkan kualiti darah dapat menjadi lebih kuat. Pemain akan memegang watak Jonathan Reid yang juga seorang doktor yang turut boleh menyelamatkan orang ramai di bandar ini. Walaupun dapat membantu orang menjadi sihat tetapi akan bermakna pemain akan menjadi lemah kerana tidak meminum darah.
Oleh itu permainan ini memfokuskan agar anda mengimbangkan antara membunuh dan merawat orang ramai. Setiap daerah akan mempunyai kadar nyawa setempat yang mengira jumlah orang ramai yang mati, sakit ataupun sihat. Apabila kadar nyawa menurun, kualiti hidup setempat akan menurun dan barangan menjadi mahal dan jika terlalu rendah, seluruh daerah mungkin akan hilang sepenuhnya.
Ini bermakna segala kedai, misi sampingan dan penduduk di daerah itu akan hilang dan daerah tersebut akan diambil alih oleh penjahat. Walaupun keempat-empat daerah ditawan, ia tidak bermaksud permainan berakhir. Sebaliknya pemain akan mendapat pengakhiran yang berbeza. Mungkin sebab inilah Vampyr hanya mempunyai satu slot untuk simpanan permainan.
Vampyr akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.