Informasi Permainan Video Terkini
Mod Foto Buat God Of War Diperlihatkan – Menyertakan Pelbagai Tetapan Foto

Mod Foto Buat God Of War Diperlihatkan – Menyertakan Pelbagai Tetapan Foto

Diterbitkan pada Apr 20, 2018 oleh .

Dengan pelancaran God Of War minggu ini, permainan ini menjadi tumpuan ramai dengan pelbagai pengulas memberi markah yang sangat tinggi termasuklah kami di Aksiz. Selain itu, baru-baru ini kami juga telah berkongsi video khas nyah kotak bagi edisi Collector permainan tersebut.

Kini, melalui siaran langsung khas sempena pelancaran permainan tersebut, Sony Interactive Entertainment bersama pengarah kreatif permainan itu, Cory Barlog berkongsi mod foto yang dinanti-nantikan oleh peminat, dimana mod ini membenarkan pemain untuk menangkap gambar foto melalui permainan God Of War.

Menurut mereka, mod foto ini akan disertakan melalui kemaskini permainan yang bakal tiba pada masa akan datang.

Melalui mod foto ini, pemain berupaya untuk mengubah-suai pelbagai bentuk fotografi termasuk penuras, eskpresi muka buat watak-watak permain dan juga arah kamera.

Bagi kami, melalui video yang dikongsikan mod foto ini mengingatkan kami kepada mod foto yang terdapat buat permainan Horizon Zero Dawn yang mana ia merupakan salah satu mod foto yang sangat menarik dengan pelbagai tetapan foto.

Buat masa ini, tarikh pelancaran mod foto ini tidak lagi diumumkan. Seperti biasa, kami akan berkongsi jika terdapat sebarang pengumuman oleh pihak Santa Monica Studio dan Sony.