Sudah pasti ramai peminat yang menanti permainan God Of War yang bakal tiba 20 April ini. Sejak pengumumannya pada E3 2016 lepas, permainan ini mendapat pelbagai gembar-gembur bersama pelbagai edisi-edisi yang diumumkan oleh Sony dan juga berkas Playstation 4 Pro.
Permainan ini merupakan permainan aksi pengembaraan yang kelapan buat siri God Of War dan menurut Santa Monica Studio, ia merupakan siri yang diolah semula buat God Of War. Dengan memfokuskan mitologi Norse, berbanding sebelum ini mitologi Greek, anda akan mengembara sebagai Kratos bersama anak beliau Atreus di dalam dunia Norse.
Saya berpeluang untuk mencuba dan menghabiskan permainan tersebut dan ini adalah ulasan penuh, buat permainan God Of War.
Mungkin ramai tertanya-tanya adakah anda perlu bermain siri God Of War sebelum ini untuk memahami penceritaan God Of War kali ini, seperti yang dikongsikan saya ketika temu bual bersama pengurus komuniti Santa Monica dan pandang pertama God Of War, jawapannya adalah tidak.
Ini kerana penceritaan God Of War kali ini memfokuskan mitologi baru berbanding sebelum ini, mitologi Greek. Mitologi Norse kali ini menempatkan pemain dan juga Kratos di kawasan yang baru dimana anda sendiri akan mengembara bersama-sama Kratos dan anak beliau, Atreus, di kawasan pergunungan Norse tersebut dimana seperti Kratos, setiap pengalaman, musuh yang ditemui adalah baru bagi beliau dan juga anda.
Pada permulaan penceritaan permainan ini, Kratos bersama anaknya berada di kawasan hutan dimana mereka mencari sebilangan pokok untuk membakar mayat isteri Kratos. Bermula dari situ, pengembaraan Kratos dan Atreus bermula dan mereka perlu ke puncak gunung, untuk menyebar abu-abu mayat isteri Kratos tersebut.
Semestinya saya tidak akan berkongsi penceritaan permainan ini dengan terperinci untuk mengelak daripada merosakkan pengalaman anda, namun apa yang saya boleh katakan adalah penceritaan permainan ini sangat menarik dan membuat saya tidak boleh berhenti bermain. Sepanjang 5 jam pertama saya bermain permainan ini, saya menghadapi kesukaran untuk berhenti bermain kerana penceritaannya sangat menarik sehingga membuat saya bermain secara terus selama 15 jam.
Sememangnya penceritaan God Of War ini melebihi dari tempoh masa itu, dimana untuk penceritaan utama sahaja, ia memerlukan saya hampir 35 jam untuk menghabiskannya. Akan tetapi, apa yang membuat saya sangat menyukai berkenaan penceritaan permainan ini adalah hubungan antara Kratos dan anaknya Atreus. Dinamik antara dua watak tersebut membuatkan kenapa penceritaan permainan ini adalah sangat memukaukan.
Tambahan dengan dialog setiap watak yang sangat menarik, ia sememangnya membuat penceritaan berjalan dengan sangat lancar. Terdapat juga sebilangan detik-detik lucu antara dua watak tersebut, ini juga menyebabkan kenapa watak Atreus sangat menarik walaupun dia ditemani oleh Kratos yang mana seorang yang sangat serius.
Selain daripada dinamik dua watak tersebut, sepanjang permainan ini anda juga akan bertemu dengan pelbagai watak-watak yang menarik seperti Brok dan Sindri yang mana mereka adalah dua adik-beradik tukang besi yang bergaduh sesama mereka. Setiap dialog dan penceritaan yang dipaparkan antara mereka juga sangat menarik dan melucukan sekaligus membuat penceritaan permainan ini lebih ringan berbanding siri sebelum ini.
Dari segi penceritaan utama, semestinya saat-saat yang dipamerkan sepanjang penceritaan ini adalah sangat epik. Setiap adegan, mahupun pertempuran, ia dipaparkan dengan sangat baik. Malah bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan mitologi Norse ini, anda juga boleh membaca kisah-kisah Norse di ruangan Lore yang ditulis di dalam jurnal Atreus.
Permainan ini memaparkan penceritaan yang sangat sempurna dari segi kefahaman dan juga cara penyampaian. Setiap saat ketika saya bermain permainan ini, ia membuat saya tertanya-tanya dari mula permainan sehingga penghujung permainan. God Of War kali ini sememangnya apa yang saya boleh katakan adalah satu lagi permainan yang bukan sahaja sempurna, malah menghormati penceritaan buat permainan berbentuk pengembaraan solo. Ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang baru dengan siri God Of War, malah ia adalah satu pucuk surat cinta buat mereka yang meminati siri tersebut.
Semestinya bagi mereka yang bermain siri God Of War sebelum ini, anda pasti akan menghargai sebilangan detik-detik saat nostalgia yang dipamerkan yang terdapat di dalam permainan ini, termasuklah beberapa adegan yang semestinya akan membuat anda terpaku.
Seperti yang anda lihat melalui imej, mahupun trailer permainan God Of War. Visual dan Grafik permainan ini sememangnya adalah satu seni. Daripada hasil bayangan sehinggalah setiap rekaan perisai, pakaian dan termasuklah eskpressi watak. Kesemuanya adalah sempurna.
Dari segi prestasi permainan, saya bermain di kedua-dua jenis Playstation 4, iaitu Playstation 4 Pro dan juga Playstation 4 OG. Namun apa yang saya boleh katakan adalah kedua-dua Playstation 4 tersebut memaparkan visual yang hampir sama. Setiap bayangan, tekstur juga dipamerkan dengan baik dan sangat realistik.
Namun begitu, bagi anda yang mempunyai Playstation 4 Pro, anda mungkin akan lebih berminat untuk bermain dalam bentuk “Performance Mode” dimana permainan tersebut akan dimainkan dengan resolusi 1080p dengan kadar nyah-kunci FPS. Sepanjang saya bermain permainan ini dalam bentuk tersebut, saya tidak berasa ia dimainkan di dalam bentuk 60FPS, namun ia semestinya melebihi 30FPS, iaitu di antara 40FPS sehingga 50FPS. Ini kerana setiap aksi yang diperlihat di dalam permainan tersebut adalah sangat lancar. Saya juga dapat melihat perbezaan ini apabila saya bermainnya di konsol Playstation 4 OG dimana buat konsol tersebut, kadar FPS dikunci kepada 30FPS.
Tambahan juga, sepanjang sesi permainan saya, saya tidak mengalami sebarang kecacatan malah permainan ini tidak mempunyai sebarang skrin permuatan, kecuali ketika saya mati di dalam permainan tersebut. Namun, ia merupakan satu bentuk yang menarik memandangkan setiap sesi permainan ia berjalan secara masa-nyata dengan prestasi grafik yang sangat baik sepanjang permainan tersebut.
Walaupun begitu, terdapat juga sedikit tekstur yang agak perlahan dipermuatkan, namun ia tidak merosakkan pengalaman saya bermain malah masalah tersebut jarang berlaku ketika saya bermainnya di Playstation 4 Pro.
Bagi anda yang masih lagi mengingati saat pertama God Of War diumumkan, iaitu pada E3 2016 ketika sidang media Playstation, anda pasti mengingati saat muzik epik orkestra yang dimainkan secara langsung ketika acara tersebut bersama Kratos yang keluar dari bayangan hitam bersama permulaan sidang media tersebut.
Perasaan itu juga tiba semasa saya bermain permainan God Of War ini dimana setiap muzik yang dimainkan tersangat epik dan membuak-buak saat ketika saya bermain permainan ini. Muzik yang dimainkan sepanjang permainan ini sememangnya mempunyai tema mitologi Norse. Setiap saat pertempuran, saat adegan, ia bergerak secara seiring melalui penceritaan.
Bagi anda yang pernah bermain siri God Of War sebelum ini, sememangnya tema mitologi Greek dan Norse terdapat sedikit perbezaan, namun muzik yang dipamerkan melalui God Of War kali ini, semestinya akan menyakinkan anda, bahawa ini adalah permainan God Of War. Setiap saat muzik permainan tersebut sememangnya memberi kesan ketika bertempur mahupun ketika adegan permainan. Menariknya juga, muzik yang terdapat di dalam permainan ini sentiasa mengingatkan saya saat-saat saya bermain siri God of War sebelum ini, walaupun ia bukanlah muzik yang sama.
Bukan sahaja kualiti muzik, malah dari segi persembahan pelakon suara latar juga sangat memberangsangkan. Christopher Judge, iaitu suara latar bagi Kratos kali ini dimainkan dengan sangat baik. Setiap saat Kratos berkata-kata sememangnya memberi impak bukan sahaja sebagai tuhan malah sebagai seorang ayah kepada Atreus. Sunny Suljic juga melakukan hasil lakonan suara latar dengan sangat baik sebagai Atreus. Setiap dialog yang dimainkan berasa sangat bersahaja dan nyata dimana anda boleh melihat hubungan antara ayah dan anak sepanjang pengembaraan mereka berkembang semakin rapat.
Aspek utama di dalam kesemua permainan semestinya jatuh ketika saat ini, dimana kawalan permainan yang juga akan memberi impak sepanjang sesi permainan anda dan kali ini, God Of War pasti tidak akan mengecewakan anda.
Sepanjang saya bermain permainan ini, saya tidak menghadapi sebarang kebosanan malah setiap saat, pertempuran mahupun masa yang saya habiskan untuk mendapatkan kelengkapan yang lebih bagus ataupun bertempur untuk mendapatkan nilai XP mahupun wang Hacksilver, merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan bagi saya.
Mungkin pada permulaan permainan ini, anda akan berasa sedikit bosan disebabkan kebanyakkan kemahiran pertempuran anda masih lagi belum dinyah-kunci lagi, namun ketika pertengahan permainan ini, anda pasti akan menyukainya dengan pelbagai bentuk kemahiran yang anda boleh nyah-kunci malah temui sepanjang pengembaraan anda.
God Of War kali ini sememangnya bukanlah permainan dunia terbuka, tetapi ia meletakkan pemain di kawasan yang luas. Seperti permainan yang lain, anda juga berpeluang untuk melakukan “Fast Travel” untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat, namun fungsi ini hanya boleh digunakan melebihi dari pertengahan permainan.
Permainan ini juga akan meletakkan pemain di dalam sebilangan tempat seperti alam-alam Midgard, Niflheim, Helheim dan sebagainya yang terdapat di dalam mitologi Norse tersebut. Pemain juga boleh bergerak ke alam-alam tersebut untuk melengkapkan cerita mahupun mengumpul barangan misi sampingan dan sebagainya. Kebebasan ini juga memberi peluang untuk pemain melihat pelbagai bentuk kawasan yang menarik malah memukau bukan sahaja dari segi visual, malah rekaan kawasan tersebut.
Namun, permainan ini sememangnya lebih memfokuskan alam Midgard dimana di kawasan tersebut, pemain berupaya untuk bergerak ke satu kawasan ke satu kawasan dengan menaiki bot. Sepanjang pengembaraan juga, pemain akan menyah-kunci lagi banyak kawasan-kawasan lain apabila tasik luas yang terdapat di Midgard semakin surut apabila pemain maju di dalam penceritaan permainan ini. Proses kemajuan ini juga memberi peluang kepada pemain untuk meneroka pelbagai lagi kawasan rahsia, mahupun mengembara mencara barangan-barangan yang pemain boleh kumpulkan seperti artifak dan sebagainya untuk melengkapkan koleksi ataupun menjualnya untuk mendapatkan wang.
Dari segi pertempuran pula, seperti yang saya kongsikan ketika pandang pertama God Of War bulan lepas, perubahan besar bagi siri kali ini adalah analog kanan kini digunakan sebagai perubahan kamera berbanding sebelum ini, kamera permainan adalah statik. Sekaligus sistem ini bukan sahaja mengubah bentuk permainan malah memberi impak dari segi pertempuran yang lebih mendasar dan taktikal. Tidak seperti sebelum ini dimana anda hanya menghempas butang kawalan untuk bertempur, God Of War kali ini akan meletakkan pemain dalam bentuk lebih berstrategi dimana setiap serangan yang dilakukan oleh pemain perlu tepat dan bersebab. Memandangkan Kratos tidak lagi berupaya untuk melompat, bentuk pertempuran permainan ini juga lebih mendasar.
Permainan ini mempunyai dua serangan utama iaitu R1 untuk serangan ringan dan R2 untuk serangan berat. Manakala butang L1 pula akan digunakan sebarang pertahan dan memesongkan serangan musuh dengan menggunakan perisai. Kapak Leviathan tersebut juga boleh dibaling seakan penukul Thor dengan menggunakan L2 untuk membuat sasaran dan membalingnya dengan R1. Anda juga boleh memanggilkan kapak tersebut semula dengan menekan butang tiga segi dan kapak tersebut akan terbang kembali ke Kratos. Butang petak pula membenarkan pemain untuk menggunakan serangan daripada Atreus seperti memanggilnya untuk menembak panah terhadap musuh dan sebagainya. Manakala butang bulat digunakan sebagai butang interaksi.
Saya menyukai aspek yang mana saya tidak perlu mengasuh watak Atreus tersebut dan setiap pergerakkan Atreus dikawal secara kendiri. Saya juga tidak perlu risau berkenaan nilai nyawa Atreus sekaligus membuat permainan ini lebih senang untuk dimainkan tanpa saya perlu mengasuh Atreus. Tambahan juga, selepas beberapa peringkat permainan, pemain juga berupaya untuk menaik-tarafkan kemahiran Atreus bersama dengan menemui sebilangan jenis panah mahupun panggilan yang berbeza dan setiap pilihan panah tersebut juga akan memberi kesan yang berbeza terhadap musuh sekaligus akan membantu anda ketika bertempur.
Manakala, serangan tangkap yang terdapat di dalam permainan sebelum ini juga kembali, namun ia sedikit berbeza. Di meter nyawa musuh, terdapat dua meter dimana meter atas adalah meter nyawa musuh tersebut manakala dibawah adalah meter Stun. Seperti God Of War sebelum ini, pemain berupaya untuk menangkap musuh dan melakukan serangan tangkapan seperti menggoyak musuh ataupun melakukan sebilangan serangan yang sangat kejam. Untuk melakukan serangan tersebut, pemain perlu menaikkan meter Stun musuh sehingga penuh seperti melakukan serangan tumbukan ataupun serangan oleh Atreus. Setelah meter tersebut sudah penuh, pemain hanya perlu menekan R3 untuk membuat serangan tersebut. Serangan tangkap ini juga membuka pelbagai jenis aspek sinematik pertempuran yang bukan sahaja menyenangkan permainan, malah memberi kesan perlawanan yang sangat ganas dan memuaskan.
Selain itu, serangan pantas melalui masa ataupun Quick Time Event (QTE) tidak lagi berada di dalam permainan ini. Namun Santa Monica Studio mengubah sedikit bentuk serangan tersebut seperti menangkap musuh dan pemain berpeluang untuk menekan R1 atau R2 untuk membuat serangan. Selain itu setiap adegan-adegan bertempur akan berlaku secara berterusan disamping terdapat mekanik ringkas seakan QTE. Walaupun begitu, ia bukanlah sebuah sistem QTE seperti permainan sebelum ini, dimana sama ada anda berjaya ataupun tidak, ia tidak memberi kesan yang terlalu drastik buat sesi pertempuran.
Selain daripada itu, pemain juga berpeluang untuk mempelajari pelbagai kemahiran tambahan yang dipanggil Runic Attack. Runic Attack ini boleh didapati melalui mengembaraan permainan, ataupun dengan membelinya di kedai tukang besi Brok ataupun Sindri. Melalui serangan Runic Attack, pemain berupaya untuk menetapkan antara serangan ringan ataupun serangan berat, sekaligus pemain hanya boleh menggunakan dua Runic Attack sahaja untuk satu masa. Setiap Runic Attack ini juga memberi sebilangan kesan terhadap musuh, contohnya terdapat sebilangan Runic Attack akan membekukan musuh sekaligus memudahkan pemain untuk bertempur.
Selain dari kemahiran Runic Attack, pemain juga berupaya untuk mempelajari kombinasi serangan baru dengan menggunakan nilai XP melalui kemahiran pokok yang terdapat di dalam permainan ini. Sepanjang pemain bermain, pemain berupaya untuk menaik-taraf senjata pemain iaitu Leviathan Axe. Setiap peringkat, pemain berupaya untuk mempelajari kombinasi serangan yang berlainan seperti berupaya untuk membaling kapak tersebut dengan lebih kuat ataupun kombinasi serangan yang berbeza apabila pemain mencampur serangan ringan dan serangan berat.
Sekaligus kombinasi Runic Attack dan kemahiran senjata ini membuatkan pertempuran permainan ini sangat seronok untuk dimainkan. Tambahan juga, pada pertengahan permainan ini, pemain juga akan menyah-kunci senjata tambahan bersama panah baru buat Atreus yang akan membuka lagi banyak cabang bentuk pertempuran permainan ini.
Untuk menambahkan lagi elemen RPG yang terdapat buat permainan ini, pemain juga berpeluang untuk menukar pakaian dan kelengkapan untuk Kratos dan juga Atreus. Walaupun Atreus hanya mempunyai satu tetapan sahaja, Kratos mempunyai pelbagai pengubah-suaian daripada kelengkapan pakaian, pelindung tangan dan perisai pinggang. Selain itu, setiap penghujung senjata Kratos juga boleh diubah-suai yang mana setiap kelengkapan akan memberi kesan yang berbeza seperti peningkatan serangan api ataupun memberi pernaik-upayaan buat Kratos.
Tambahan juga, setiap kelengkapan Kratos tersebut, boleh ditambahkan lagi dengan penetapan Socket yang akan memberi pelbagai lagi kesan khas buat pemain seperti meningkatkan lagi pertahanan ataupun memberi pertahanan daripada sesuatu elemen serangan.
Kratos juga berupaya untuk memakai Talisman tambahan yang akan memberi peluang kepada pemain untuk menghasilkan kemahiran baru dengan kombinasi L1 bersama butang bulat di alat kawalan pemain. Talisman ini juga mempunyai pelbagai bentuk kemahiran seperti contohnya menyembuhkan Kratos daripada serangan musuh dan sebagainya.
Ini sekaligus memberi pelbagai penetapan untuk pemain dan bukan sahaja dari pakaian, malah kombinasi-kombinasi pilihan kelengkapan daripada Socket sehinggalah penetapan penghujung senjata. Fungsi ini bukan sahaja membuka cabang bentuk pertempuran pemain, malah menghasilkan setiap sesi permainan yang berbeza bagi setiap pemain.
Tambahan juga, pernaik-tarafan kelengkapan Kratos juga akan memberi kesan terhadap peringkat pemain. Tidak seperti permainan RPG lain yang memfokuskan peringkat ataupun Level berdasarkan nilai pengalaman XP. God Of War kali ini memfokuskan peringkat pemain berdasarkan kekuatan senjata ataupun perisai pemain. Setiap kali pemain meningkatkan kelengkapan Kratos, nilai statistik pemain juga akan meningkat seperti keupayaan kekuatan, nyawa mahupun nilai nasib.
Dari segi bentuk pertempuran bersama ketua musuh pula, pada awal permainan bagi saya ia agak membosankan. Ini kerana seperti yang saya katakan di atas ia adalah bersebabkan pada permulaan permainan, saya masih lagi belum menyah-kunci sebilangan serangan kemahiran sekaligus bentuk pertempuran saya agak terhad.
Namun, ia menjadi berbeza setelah pertengahan permainan ini dimana pertempuran dengan pelbagai kemahiran yang telah dipelajari, menjadikan ia lebih seronok dimainkan bersama dengan serangan Kratos yang bertubi-tubi setelah anda mahir membuat kesemua kombinasi serangan yang terdapat di dalam permainan tersebut. Oleh hal demikian, setelah anda mempelajari pelbagai kemahiran, bentuk pertempuran bersama ketua-ketua musuh menjadi sangat seronok malah lebih taktikal.
Seperti permainan God Of War sebelum ini, permainan ini juga menyertakan pelbagai bentuk tekaria yang mana pemain perlu menyelesaikan untuk mendapat sebilangan ganjaran barangan ataupun untuk meneruskan penceritaan. Menariknya, tekaria yang terdapat di dalam permainan ini pada pendapat saya sangat seronok dimainkan. Mungkin bagi sesetengah pihak, ia agak berulangan, tetapi bagi saya, ia mempunyai unsur perulangan yang tidak membosankan dan pelbagai dengan menggunakan konsep yang sama, tetapi cara penyelesaiannya sedikit berbeza untuk setiap tekaria. Ketika penghujung permainan ini juga, tekaria tersebut menjadi semakin sukar dan pemain perlu sentiasa memikir luar dari kotak untuk menyelesainya malah perlu meminta bantuan Atreus untuk menyelesaikan sebilangan tekaria yang terdapt di dalam permainan ini.
Akhir kata, God Of War kali ini sememangnya sebuah permainan yang sangat menarik dan saya sangat mengesyorkan anda untuk bermainnya. Bukan sahaja penceritaannya yang epik malah bentuk pertempuran yang mengasyikkan dan anda pasti akan sentiasa kembali ke permainan tersebut untuk melepaskan geram anda dengan membunuh musuh-musuh dengan bentuk pertempuran yang sangat memuaskan.
Mungkin ramai akan menyangka bahawa bentuk pertempuran God Of War kali ini menyerupai permainan Dark Souls mahupun Bloodborne, bagi saya tidak. Dengan bentuk seperti penapisan perisai, mahupun pengelakkan, bentuk pertempuran permainan ini sememangnya berbeza dari siri permainan tersebut malah ia lebih menyeronokkan dan lebih memuaskan bagi saya. Pada masa yang sama, ia juga tidaklah terlalu sukar seperti permainan Dark Souls.
Penceritaan permainan ini juga sangat menarik dan tidak membosankan. Dengan jumlah permainan menghampiri 35 jam untuk menghabiskan penceritaan utama, ia sememangnya sebuah permainan yang mana bagi saya berbaloi untuk dimainkan sebagai sebuah kualiti permainan bertaraf AAA.
Tambahan juga, setelah anda tamat penceritaan utama permainan ini, anda berupaya untuk kembali dan melakukan pelbagai lagi aktiviti dan misi sampingan yang akan sentiasa membuat anda terus bermain permainan ini. Dengan pelbagai kandungan yang pemain boleh menyah-kunci dan beberapa kandungan tambahan lain, anda juga boleh meneroka keseluruh kawasan permainan tersebut untuk melengkapkan misi sampingan dan mendapatkan trofi Platinum.
God Of War kali ini juga menunjukkan bahawa permainan bergenre solo masih lagi mendapat sambutan dan permintaan ramai. Dengan penceritaan yang memfokuskan anak dan ayah bersama bentuk pertempuran yang mendasar, ia sememangnya sebuah permainan bukan sahaja untuk untuk peminat tegar God Of War malah ia permainan bagi mereka yang baru buat siri tersebut. Semestinya permainan ini, bukan hanya sebuah bentuk hiburan, malah ia adalah satu karya seni oleh Santa Monica Studio.
Kod Ulasan Permainan God Of War Disediakan oleh Playstation Asia