Permainan Battlefield V Dilaporkan Mempunyai Mod Battle Royale

Bulan lepas, terdapat ura-ura yang mana Electronic Arts dan DICE kini sedang membangunkan permainan Battlefield seterusnya. Kini, melalui laporan Venture Beats, tampaknya permainan peperangan tersebut bakal menyertakan mod Battle Royale yang menjadi kegilaan pemain terkini.

Bagi anda yang masih baru dengan mod Battle Royale, mod ini meletakkan 100 pemain di dalam satu kawasan yang luas yang mana setiap pemain akan bertempur sesama sendiri untuk menjadi pemain terakhir yang hidup. Ianya asalnya terkenal bermula dengan permainan seperti Player Unknown’s Battlegrounds dan Fortnite.

Kini tampaknya, permainan penembak pandang pertama yang terkenal dari EA, Battlefield juga bakal menyertakan mod tersebut. Menurut seorang yang mempunyai akses di studio pembangun permainan tersebut DICE, beliau menyatakan mod tersebut kini sedang diuji oleh pembangun.

Namun begitu, menurut laporan tersebut buat masa ini, mod ini masih belum dirasmikan lagi. Malah, pihak DICE juga mungkin tidak akan menyertakan bersama ketika permainan tersebut dilancarkan dan mungkin akan menyertakan melalui kemaskini permainan secara percuma selepas pelancaran.

Battlefield V merupakan permainan penembak pandang pertama seterusnya buat siri Battlefield oleh EA. Ia dibangunan oleh DICE dan dikatakan bakal dilancarkan tahun ini. Battlefield V juga dilaporkan akan memfokuskan peperangan dunia kedua.

Buat masa ini, EA dan DICE masih belum mengumumkan secara rasmi berkenaan permainan tersebut, namun dengan permainan Battlefield 1 pada 2016 lepas, kami percaya pada tahun ini, EA akan membawa kembali siri tersebut dengan nafas yang baru.

Sohor Kini