Informasi Permainan Video Terkini
Raksasa Baru Kulve Taroth Diumumkan Buat Monster Hunter World – Menyertakan Mod Siege

Raksasa Baru Kulve Taroth Diumumkan Buat Monster Hunter World – Menyertakan Mod Siege

Diterbitkan pada Apr 18, 2018 oleh .

Dengan berlangsungnya acara Spring Blossom Fest pada bulan ini, Capcom hari ini mengumumkan kemaskini terbaru buat Monster Hunter World iaitu raksasa terbaru, Kulve Taroth. Raksasa ini merupakan raksasa yang baru dan merupakan salah satu daripada raksasa Elder Dragon.

Dengan pengumuman raksasa terbaru tersebut, Capcom juga mengumumkan mod Siege yang mana ia merupakan acara masa terhad buat pemain untuk memburu raksasa Kulve Taroth. Namun buat masa ini, Capcom tidak berkongsi tempoh masa acara tersebut.

Melalui mod Siege ini, pemain berupaya untuk bermain secara berkumpulan sehingga 16 pemain dimana setiap pasukan pemburu akan dibahagi kepada empat pemain sekaligus mempunyai empat pasukan. Dengan empat pasukan tersebut, pemain akan bekerjasama untuk menyiasat dan memburu raksasa Kulve Taroth yang sama.

Setiap pasukan pemburu tersebut bukan sahaja memudahkan untuk mengumpul bahagian raksasa dengan lebih mudah, malah setiap kemajuan yang dilakukan oleh pemain, akan memberi kesan kepada keseluruhan misi tersebut.

Selain itu, kemaskini ini juga akan menyertakan peta kawasan yang baru iaitu The Caverns Of El Dorado, yang mana ia merupakan kawasan utama buat pemain untuk memburu raksasa tersebut.

Seperti raksasa-raksasa lain, Kulve Taroth juga akan membenarkan pemain untuk menghasilkan pelbagai jenis kelengkapan dan senjata melalui raksasa tersebut. Selain daripada kelengkapan dan senjata untuk pemain, kelengkapan dan senjata untuk Palico juga akan disertakan secara bersama.

Bagi anda yang berminat untuk memburu raksasa terbaru ini, anda boleh berbuat demikian bermula 19 April ini jam 8 pagi dengan hanya memuat-turun kemaskini permainan secara percuma.

Tambahan juga, kemaskini ini juga akan menyertakan sebilangan kemaskini permainan dimana anda boleh membaca keseluruhan nota kemaskini permainan tersebut di sini.