Ketika acara Game Developers Conferences 2018 yang berlangsung bulan lepas, Richard Forester, ketua pasukan pembangun dan penyelidik di Sony berkongsi sebilangan fungsi-fungsi tambahan penyiaran langsung yang mereka lakukan buat set kepala realiti-maya Playstation VR.

Seperti yang anda tersedia maklum, konsol Playstation 4 boleh disiar secara langsung melalui Youtube mahupun Twitch secara terbina. Fungsi ini juga bukan sahaja memudahkan pemain untuk berkongsi sesi permainan secara atas-talian, malah merupakan satu kemudahan dimana pemain tidak perlu membuat pelbagai tetapan sebelum membuat persiaran langsung dengan hanya menggunakan butang “Share” yang terdapat di alat kawalan Dualshock 4.

Namun melalui Playstation VR, fungsi persiaran langsung sememangnya agak berlainan memandangkan ianya hanya menyiarkan pandangan daripada ‘Social Screen’ yang dipotong di siaran TV anda dan bukan apa yang dilihat melalui Playstation VR pemain.

Melalui laporan Road To VR, Richard Forester menyatakan bahawa eksperimen ini hanya dikongsi sebagai satu percubaan dan bukannya fungsi yang akan tiba buat Playstation VR. Namun begitu, beliau juga menyatakan pihak Sony sememangnya berminat untuk mencari jalan untuk meningkatkan lagi pengalaman perkongsian sesi permainan buat set kepala realiti-maya tersebut.

Fungsi pertama yang dikongsikan oleh beliau dipanggil “Easy Access Broadcasting” yang mana seperti fungsi penyiaran oleh konsol Playstation 4 seperti biasa, fungsi ini akan membenarkan pemain menetapkan satu kamera maya di kawasan permainan dan kamera tersebut akan menyiarkan penglihatan yang lebih teratur sekaligus menghilangkan kegoncangan apabila pemain menggerakkan kepala mereka.

Fungsi seterusnya pula memerlukan lebih banyak langkah dimana ia memerlukan pengguna kedua dan beliau akan diberi keupayaan untuk mengawal kamera secara masa-nyata dengan menggunakan alat kawalan kedua.

Menurut Richard Forester, setelah mereka membuat pelbagai eksperimen, mereka berasa dengan penyiaran siaran langsung dalam bentuk pandangan pihak ketiga akan memberi pengalaman yang lebih baik. Pada mulanya, mereka menyadangkan untuk meletakkan satu watak avatar untuk menggantikan pemain, sekaligus penonton juga berupaya untuk melihat avatar tersebut.

Mereka juga mencuba dengan meletakkan bentuk realiti-gabungan seperti yang dilakukan oleh pengguna realiti-maya di PC dengan menggunakan skrin hijau. Ini juga akan menghasilkan pemain seolah berada di dalam dunia permainan melalui penyiaran langsung tersebut.

Akan tetapi tindakan tersebut memerlukan penggunaan kuasa yang lebih tinggi dan mungkin akan memberi kesan buat permainan Playstation VR tersebut. Richard Forester juga mencadangkan untuk menggunakan sebuah Playstation 4 Pro tambahan dan ia hanya akan digunakan untuk penyiaran. Ini juga akan membuka peluang peluang dengan hasil penyiaran yang lebih berkualiti tinggi.

Tambahan mereka, selain daripada berkongsi sesi permainan buat pengguna, Richard Forester juga menyatakan bahawa seluruh pasukan pembangun juga berminat untuk menggunakan fungsi tambahan ini untuk memudahkan pembangun permainan mempromosikan permainan mereka. Ini juga bukan sahaja akan menarik minat pemain, malah ia akan memudahkan pembangun untuk berkongsi bentuk permainan realiti-maya tersebut.

Tambahan juga, dengan fungsi tambahan ini, mereka juga berharap ia dapat membantu pemain untuk berkongsi pelbagai saat-saat menarik melalui sesi permainan secara realiti-maya dan mungkin memberi peluang untuk penyiar pemain untuk menghasilkan produksi penyiaran permainan yang lebih tersusun.

Walaupun begitu, kesemua ini hanyalah satu eksperimen buat pihak Sony dan kesemua fungsi tersebut tidak akan tiba buat pengguna secara rasmi. Namun, ini merupakan satu fungsi yang menarik terutamanya bagi mereka yang sering berkongsi sesi permainan di sosial media.

Mungkin juga pada masa akan datang, dengan kemampuan konsol terbaru Sony yang katanya bakal tiba pada tahun 2020, mungkin juga fungsi ini akan tiba buat konsol tersebut?

Sohor Kini