Informasi Permainan Video Terkini
Acer Predator Kini Menaja Pasukan E-Sukan Geek Fam

Acer Predator Kini Menaja Pasukan E-Sukan Geek Fam

Diterbitkan pada Apr 13, 2018 oleh .

Acer Malaysia dan pasukan e-sukan Geek Fam hari ini mengumumkan bahawa Predator, iaitu jenama permainan video oleh Acer kini menaja pasukan Geek Fam. Hasil penajaan sekaligus akan menglengkapkan pasukan Geek Fam dengan pelbagai kelengkapan permainan video oleh Predator.

Pasukan Geek Fam sebelum ini terkenal dengan menjuarai kejohanan Acer Predator League 2018 yang berlangsung pada Januari lepas kini menjadi salah satu pasukan ternama di Malaysia.

Sejak November 2016 lepas, pasukan tersebut diasaskan oleh Lim Keat Kuang dan Josep Yeah dengan hanya bermula meneraju e-sukan melalui permainan Dota 2. Kini dengan hasil kejayaan mereka, Geek Fam sudah mula mengembangkan pasukan mereka dengan permainan League of Legends sekaligus meningkatkan lagi tahap pencapaian mereka.

Menurut pengasas Geek Fam, Lim Keat Kuang, beliau menyatakan bahawa mereka sangat berbangga dengan hasil kerjasama antara Predator dan penajaan ini sememangnya akan membenarkan mereka untuk mencapai cita-cita mereka.

Johnson Seet dari Acer Malaysia juga menyatakan dengan kerjasama ini, mereka juga akan sentiasa menyokong komuniti permainan video di Malaysia malah hasil kerjasama ini juga akan membenarkan mereka untuk menjayakan lagi produk-produk Predator untuk keperluaan pemain bukan sahaja untuk professional, malah pemain biasa.

Pada masa yang sama, bermula hari ini sehingga 15 April ini, Geek Fam mengadakan acara khas sesi pembukaan Geek Fam Arena yang berlangsung di Lot 10 dimana anda berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti termasuklah cabutan bertuah yang bakal berlangsung pada hari Ahad, 15 April ini.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui acara tersebut dengan lebih lanjut, anda boleh melayari laman rasmi Facebook Geek Fam Arena di sini.

Kami di Aksiz juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Geek Fam atas penajaan ini. Sememangnya ia bukan sahaja meningkat lagi kejayaan pasukan tersebut, malah industri permainan video di Malaysia juga bakal berkembang.