Bulan lepas, Aksys Games mengumumkan permainan Little Dragons Cafe yang mana ia dihasilkan oleh pencipta Harvest Moon, Yasuhiro Wada. Kini Aksys Games akhirnya telah berkongsi video khas yang mempertontonkan bentuk permainan tersebut.
Little Dragons Cafe merupakan permainan bentuk pengembaraan yang mana pemain berupaya untuk menternak naga dan pada masa yang sama menjalankan sebuah restoran kafe. Pemain juga berupaya untuk bercucuk tanam dan bergaul mesra bersama penduduk-penduduk kampung seakan permainan Harvest Moon dan Stardew Valley.
Melalui video yang dipertontonkan, permainan ini tampaknya mempunyai sebilangan bentuk mini-permainan seperti memasak dan sebagainya. Dari segi visual, ia tampaknya mempunyai visual bentuk seakan lukisan yang nampak sangat menarik. Pada permulaan permainan tersebut, pemain juga berupaya untuk memilih dua watak yang mana watak yang tidak dipilih, akan menjadi pembantu restoran pemain.
Little Dragons Cafe dirancang untuk dilancarkan pada musim panas ini iaitu di antara Jun sehingga September buat konsol Playstation 4 dan juga Switch.