Awal minggu ini, Unties dan Area 35 baru sahaja mengumumkan bahawa permainan Tiny Metal ditangguhkan ke bulan hadapan, namun hari ini, pengarah permainan tersebut Hiroaki Yura dituduh oleh pembangun permainan Tariq Lacy berkenaan permainan yang didana pada 2013 lepas, iaitu Project Phoenix digunakan sebagai dana untuk pembangunan permainan Tiny Metal.

Menurut Tariq Lacy, beliau menyatakan bahawa beliau diupah sebagai perhubungan awam dan permasaran bagi permainan Tiny Metal selama dua bulan. Sepanjang beliau berada di Area 35, beliau mengetahui bahawa permainan tersebut didana oleh wang danaan daripada kempen permainan Kickstarter Project Phoenix sebanyak $1,000,000. Beliau menyatakan juga permainan Project Phoenix tidak dirancangkan untuk dilancarkan dan ia adalah hanya kempen untuk mendapatkan dana.

Namun, Hiroaki Yura menafi tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa kenyataan oleh Tariq Lacy merupakan daripada staf yang kehabisan kontrak pekerjaan. Hiroaki Yura juga menyatakan segala dana daripada kempen permainan Project Phoenix bersama wang beliau sendiri digunakan untuk menghasilkan prototaip permainan Project Phoenix tersebut pada 2014 lepas. Beliau juga menyatakan segala pelaburan bagi permainan Tiny Metal datang daripada pelabur dari Australia, namun pelaburan tersebut ia masih tidak mencukupi. Justeru Area 35 bekerjasama dengan Unties untuk menyiapkan pembangunan permainan tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, Hiroaki Yura masih tidak memberi sebarang kenyataan tambahan berkenaan tuduhan tersebut. Namun ini merupakan sesuatu yang sangat merisaukan kerana permainan Project Phoenix masih belum lagi dilancarkan walaupun ia didana pada 2013 lepas. Tambahan juga dengan penangguhan permainan Tiny Metal yang diumumkan awal minggu ini. Seperti biasa, kami akan berkongsi kemaskini berita ini kelak.

Sohor Kini