Menurut laporan Forbes, pembangun Star Citizen iaitu Cloud Imperium setakat ini telah mendapat dana sebanyak $288 juta (RM 1.1 bilion) dan $242 (RM1 bilion) daripada jumlah tersebut adalah sumbangan pemain melalui sistem biayasama.

Bagi tahun 2017, Star Citizen telah mendapat kutipan lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan kutipan permainan video di Kickstarter.

Permainan tersebut sepatutnya dikeluarkan pada tahun 2014, akan tetapi berdasarkan peringkat alfa buat permainan tersebut ia masih jauh untuk disiapkan. Lebih merisaukan adalah mereka dilaporkan telah membelanjakan hampir kesemua dana yang diperoleh.

Bagi terus mendapatkan dana, Cloud Imperium telah menjual pelbagai kapal angkasa untuk digunakan di dalam permainan. Kapal angkasa tersebut dijual sehingga harga $3 ribu (RM12 ribu). Namun, disebabkan permainan untuk menggunakan kapal-kapal angkasa tersebut masih tidak disiapkan, beberapa pemain kini ingin mendapatkan kembali wang mereka.

Laporan tersebut juga berkongsi beberapa masalah semasa pembangunan yang membuatkan permainan tersebut terus ditunda, tetapi kebanyakannya memfokuskan kepada pengurusan yang tidak baik oleh pengasas syarikat tersebut Chris Roberts.

Sama ada permainan ini suatu hari nanti akan disiapkan masih tidak mendapat sebarang kepastian, tetapi sesuatu yang pasti adalah pemain perlu terus menunggu.

Sohor Kini