Pasukan GEEKAY secara rasmi dinobatkan sebagai juara kejohanan Dew Challenge Musim Ke-2 selepas mencatatkan kemenangan mutlak 3-0 ke atas Pasukan RENN dalam perlawanan akhir format ‘Best-of-Five’. Peringkat kemuncak bagi kejohanan esukan anjuran Mountain Dew yang menampilkan permainan Honor of Kings ini telah berlangsung di Blue Atrium, Sunway Pyramid.

Atas kemenangan tersebut, Pasukan GEEKAY membawa pulang hadiah wang tunai utama berjumlah RM50,000, ganjaran eksklusif dalam permainan Honor of Kings, serta Baucar Razer Gold bernilai RM1,000. Tempat kedua disandang oleh Pasukan RENN yang meraih wang tunai RM25,000 berserta baucar RM500, manakala Pasukan AURORA menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan baucar RM250.

Selain kategori berpasukan, kejohanan turut mengiktiraf prestasi individu dengan menganugerahkan gelaran Pemain Paling Bernilai Perlawanan Akhir (FMVP) kepada GK Musang King. Pemain daripada pasukan GEEKAY tersebut membawa pulang sebuah monitor ROG Strix OLED yang ditaja oleh ROG.

Secara keseluruhan, Dew Challenge Musim Ke-2 yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM750,000 ini telah berjalan selama enam bulan di seluruh negara dan berjaya menarik lebih 43,000 penyertaan. Bagi meluaskan capaian komuniti, penganjur mengadakan enam pusingan kelayakan fizikal termasuk di Kuantan serta buat julung kalinya di Sabah sebagai lokasi sulung di Malaysia Timur. Selain itu, trak jelajah kempen turut digerakkan merentasi kawasan dari Kedah hingga ke Johor.

Sepanjang hujung minggu perlawanan akhir itu, para pengunjung yang hadir ke lokasi acara turut disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif di lapangan. Antara aktiviti yang disediakan termasuklah cabaran Test of Speed, penebusan blind box melalui program Recycle for Rewards, serta pengagihan ganjaran eksklusif menggunakan mesin layan diri interaktif.

Leave a Reply