Siri drama perisikan Apple TV, Slow Horses, disahkan akan kembali untuk musim keenam bermula 16 September 2026. Musim terbaharu yang mengandungi enam episod ini akan memulakan siaran perdana pada tarikh tersebut, diikuti dengan pelancaran satu episod setiap minggu sehingga 21 Oktober 2026.

Jalan cerita bagi musim keenam ini akan memfokuskan kepada situasi di mana kumpulan Slow Horses terpaksa melarikan diri selepas Diana Taverner mengheret mereka ke dalam konflik balas dendam yang berisiko tinggi. Plot kali ini merupakan adaptasi daripada novel “Joe Country” dan “Slough House”, iaitu buku keenam dan ketujuh daripada siri novel karya Mick Herron. Gaby Chiappe bertindak sebagai penulis adaptasi televisyen, manakala Adam Randall kembali mengarah bagi musim ini.
Secara keseluruhan, siri ini mengisahkan tentang sebuah kumpulan ejen perisikan British yang ditempatkan di bawah jabatan MI5 yang dikenali sebagai Slough House. Jabatan tersebut menjadi tempat pengumpulan bagi ejen-ejen yang melakukan kesilapan dalam menamatkan kerjaya asal mereka.

Pelakon utama Sir Gary Oldman kembali memegang watak sebagai Jackson Lamb, ketua kepada kumpulan ejen di jabatan berkenaan. Barisan pelakon lain yang turut membintangi musim ini termasuk Kristin Scott Thomas, Jack Lowden, Saskia Reeves, Christopher Chung, Aimee-Ffion Edwards, Rosalind Eleazar, Joanna Scanlan, Samuel West, Ruth Bradley, Tom Brooke, Jonathan Pryce, Hugo Weaving, serta penampilan pelakon baharu, Lenny Rush.
Siri yang diterbitkan oleh See-Saw Films ini mengekalkan barisan penerbit eksekutif termasuk Jamie Laurenson, Hakan Kousetta, Julian Stevens, Iain Canning, Emile Sherman, Adam Randall, Gail Mutrux, Douglas Urbanski, dan Gary Oldman sendiri.

Kesemua lima musim terdahulu Slow Horses kini boleh ditonton, dan mereka juga telah mengesahkan siri ini akan menerima musim ketujuh. Apple TV boleh dilanggan pada harga RM29.90 sebulan ataupun sebahagian daripada langganan Apple One.


