Platform penstriman Prime Video bakal menyiarkan filem adaptasi daripada novel terlaris New York Times nukilan Ali Hazelwood, iaitu The Love Hypothesis, bermula 23 September depan. Sempena pengumuman tersebut, Amazon MGM Studios turut berkongsi beberapa gambar awal yang memaparkan barisan pelakon utama naskhah berkenaan.


The Love Hypothesis mengikuti kisah Olive (lakonan Lili Reinhart), seorang calon Ph.D. yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada masa depannya dalam dunia akademik. Bagaimanapun, situasi mula berubah apabila ia menyedari bahawa rakan baiknya, Ahn (Rachel Marsh), telah jatuh cinta dengan lelaki yang pernah diminatinya sebelum ini, iaitu Jeremy (Nicholas Duvernay).
Demi membuktikan kepada Ahn bahawa ia sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap lelaki tersebut, Olive secara spontan telah mencium seorang profesor bernama Adam Carlsen (Tom Bateman). Tindakan mengejut demi menjaga persahabatan itu kemudiannya melarat menjadi sebuah hubungan palsu yang terikat dengan peraturan serta perjanjian yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Konflik mula memuncak apabila sempadan antara lakonan dan realiti semakin kabur, sekaligus memaksa watak tersebut menguji hipotesis terbesar dalam hidupnya sama ada cinta sememangnya berbaloi untuk dihadapi.


Projek ini merupakan terbitan A Cantillon Company dengan kerjasama MRC. Naskhah ini diarahkan oleh Claire Scanlon, manakala skripnya pula ditulis oleh Sarah Rothschild berdasarkan novel asal karya Ali Hazelwood. Elizabeth Cantillon bertindak selaku penerbit bagi projek ini.
Selain dua peneraju utama, barisan pelakon lain yang turut menjayakan naskhah ini ialah Rachel Marsh, Nicholas Duvernay, Jaboukie Young-White, dan Arty Froushan.
Prime Video boleh dilanggan dengan harga langgan RM25 sebulan.


