Apple TV disahkan bakal menerbitkan musim kedua bagi siri Widow’s Bay. Pengumuman pembaharuan ini dibuat menjelang tayangan episod akhir bagi musim pertama siri berkenaan pada 17 Jun ini. Selain daripada pelanjutan musim tersebut, Apple TV turut memeterai perjanjian berbilang tahun yang baharu bersama pencipta, pengarah rancangan, dan penerbit eksekutif siri itu, Katie Dippold.
Membawa genre horror dan character-driven comedy, Widow’s Bay memfokuskan kepada watak Datuk Bandar Tom Loftis yang dilakonkan oleh Matthew Rhys. Loftis digambarkan cuba membangunkan semula ekonomi serta komuniti kawasannya yang berdepan masalah ketiadaan Wi-Fi, talian selular yang tidak stabil, serta penentangan daripada penduduk tempatan yang mempercayai pulau mereka terkena sumpahan. Walaupun Loftis akhirnya berjaya menarik kehadiran pelancong ke pulau tersebut, kisah-kisah mitos lama yang dahulunya dianggap karut mula berlaku semula secara tiba-tiba.
Siri terbitan Apple Studios ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Kate O’Flynn, Stephen Root, Kingston Rumi Southwick, Kevin Carroll, Dale Dickey, K Callan, dan Jeff Hiller. Di samping menjadi pelakon utama, Rhys bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama Carver Karaszewski, Claudia Shin, dan Hiro Murai. Bagi pengarahan musim pertama, Murai telah mengarahkan sebanyak lima episod, manakala baki episod selebihnya dikendalikan oleh Ti West, Sam Donovan, dan Andrew De Young.
Baca: Ulasan Widow’s Bay


