Nintendo telah mengumumkan permainan solo untuk Splatoon, Splatoon Raiders akan dilancarkan pada 23 Julai 2026 untuk Nintendo Switch 2. Permainan ini memfokuskan kepada misi pencarian harta karun di kawasan kepulauan yang dikenali sebagai Spiralite Islands. Siri baharu ini memperkenalkan elemen perkembangan watak, di mana pemain yang menggalas peranan sebagai “the mechanic” boleh meningkatkan tahap karakter (level up) melalui pertempuran. Pemain juga ditawarkan pilihan untuk mengubah suai pelbagai naik taraf bagi dipadankan dengan gaya permainan masing-masing.
Pemain dan trio kumpulan pemuzik Deep Cut akan menggunakan sebuah kapal (hideout ship) yang berada di perairan sebagai hab utama sebelum melakukan selaman untuk memburu harta karun. Sepanjang pengembaraan, pemain akan berdepan dengan kumpulan makhluk agresif yang dikenali sebagai salmonids.
Memandangkan musuh akan menyerang secara automatik sebaik sahaja dihampiri, pemain akan disokong oleh sebuah exploration bot yang dipandu oleh ahli Deep Cut. Bot ini berfungsi untuk membantu pemain dalam pertempuran dengan menyerang secara automatik, melancarkan pemain ke udara untuk mendapatkan altitud tambahan, dan melancarkan serangan khas.
Kapasiti serangan pemain turut disokong dengan pelbagai gajet yang boleh diaktifkan secara serentak. Antara variasi gajet yang dipaparkan termasuk peranti yang menembak dakwat secara berterusan, alat yang memotong musuh, dan mekanisme yang memutarkan dakwat di sekeliling watak pemain.
Maklumat lanjutan mengenai permainan ini akan dikongsikan melalui penstriman Splatoon Raiders Direct yang dijadualkan pada 30 Jun ini. Sementara itu, pemain boleh membaca komik harian yang akan diterbitkan menerusi aplikasi Nintendo Today. Sebagai penambahan, Nintendo mengesahkan satu acara Splatfest yang membawakan tema kolaborasi bersama judul baharu ini akan diadakan di dalam Splatoon 3, dengan butiran khusus akan diumumkan pada masa akan datang.


