Nintendo telah mengumumkan Fire Emblem: Fortune’s Weave, permainan terbaru untuk siri judul Fire Emblem akan dilancarkan pada 17 September untuk Nintendo Switch 2. Permainan ini berlatarkan Empayar Dagdon dan memfokuskan kepada sebuah siri perlawanan heroik di ibu kota Dagian, di mana pemenang utamanya akan dikurniakan satu hajat.

Naratif permainan ini digerakkan oleh empat watak utama yang boleh dipilih oleh pemain, dengan setiap daripada mereka mempunyai motif tersendiri untuk menyertai perlawanan tersebut. Watak-watak ini adalah Kai, seorang remaja yang mahu menyelamatkan bapanya daripada penjara; Dietrich, seorang pemain pedang yang mencari lawan yang lebih kuat; Theodora, seorang ratu yang berhasrat untuk memenuhi impian negaranya; dan Lita, seorang ahli muzik yang didorong oleh niat membalas dendam. Pilihan watak ini akan menentukan laluan jalan cerita yang bakal dimainkan.

Pertempuran dalam Fire Emblem: Fortune’s Weave diselesaikan melalui sistem Turn-based tactical yang memerlukan perancangan teliti terhadap jarak senjata dan keupayaan spesifik setiap unit di medan perang. Selain itu, keempat-empat watak utama turut dilengkapi dengan teknik istimewa masing-masing yang boleh diaplikasikan untuk mengubah situasi semasa pertempuran.

Apabila tidak bertarung di dalam perlawanan, pemain mempunyai peluang untuk memperkuatkan pasukan mereka. Masa senggang ini boleh digunakan untuk mengasah teknik tentera di tapak latihan, merekrut sekutu baharu, atau mengembara ke luar dari kawasan tembok kota Dagian untuk meraih pengalaman tambahan bagi persediaan perlawanan yang seterusnya.

Leave a Reply