Sebelum saya mulakan dengan ulasan untuk Death Stranding 2: On The Beach (DS2) adalah lebih baik saya mengatakan yang ulasan terbaik untuk DS2 adalah dengan anda bermain sendiri permainan pertama untuknya iaitu Death Stranding (DS1) yang dilancarkan pada tahun 2019. Jika anda bermain DS1 dan menyukainya, secara terus saya boleh katakan yang DS2 adalah permainan yang lebih baik, menarik dan besar saya tidak perlu bercerita panjang dan anda harus dapatkannya. Jika anda mencuba DS1 tetapi tidak menyukainya, tidak kira kerana penceritaan ataupun lebih-lebih lagi kerana tatamain saya boleh katakan yang walaupun dengan pelbagai penambahan di dalam DS2 ia tidak akan mengubah penerimaan anda untuk permainan ini. Ini adalah kerana DS2 adalah permainan susulan yang mengekalkan apa yang baik daripada permainan pertama dan mengembangkannya.
Selain daripada itu, ulasan ini juga ditulis dengan menganggap yang anda sudah bermain DS1, oleh itu mungkin akan ada beberapa beberan daripada permainan tersebut, dan jika anda tidak bermain-nya lagi ataupun tidak menghabiskannya lagi, ulasan saya sudah mencukupi dibaca di perenggan pertama, selain daripada itu saya juga tidak akan menjelaskan semula mekanik-mekanik permainan secara mendalam kerana sekali lagi saya menganggap yang pembaca sudah berpengetahuan di dalam permainan ini agar ulasan ini dapat dilakukan dengan lebih ringkas dan mudah untuk difahami. Jika anda ingin membaca ulasan kami untuk DS1, anda boleh lakukannya di pautan ini.


Seperti saya nyatakan di atas, DS2 telah melakukan penambah-baikkan untuk setiap bahagian daripada DS1, bermula dengan penceritaan. Berlaku 11 bulan selepas pengakhiran permainan pertama, Sam kini hidup menyendiri bersama dengan Lou yang sudah membesar, dia tidak lagi bekerja sebagai porter sebaliknya cuba mengelak daripada pandangan UCA. Sehinggalah Fragile datang dan meminta tolong Sam untuk memperluaskan rangkaian Chiral ke Mexico. Fragile kini membuka syarikat penghantaran baharu iaitu Drawbridge, dan telah diupah oleh APAS iaitu satu organisasi persendirian yang bertanggungjawab untuk menguruskan rangkaian tersebut. Pada awalnya Sam tidak berminat tetapi bersetuju selepas dijanjikan kebebasan oleh Fragile, Sam berjaya melakukan tugasannya di Mexico akan tetapi selepas satu kejadian yang berlaku dia ditugaskan pula untuk menghubungkan keseluruhan Australia ke dalam rangkaian.
Secara umumnya saya boleh katakan penceritaan DS1 adalah menarik tetapi satu tugasan yang sukar untuk menjelaskan segala lore yang ada, tetapi pada masa yang sama ingin menggerakkan sesuatu penceritaan. DS2 tidak mempunyai masalah itu, dan mereka boleh terus melakukan penceritaan dengan lebih menarik. Masih ada beberapa lore baharu yang diperkenalkan tetapi kerana ia masih berkait dengan perkara daripada penceritaan asal, ia tidak memerlukan belasan minit monolog untuk disampaikan, sesuatu yang sering menjadi masalah di dalam DS1. Analogi yang saya boleh gunakan, DS1 banyak bercerita mengenai idea konsep satu bola sepak, bagaimana ia diisi angin, disepak dan sebagainya, manakala DS2 kita melihat bagaimana perlawanan bola sepak menggunakan bola tersebut.


Setiap bahagian penceritaan dilakukan dengan lebih ringkas dan mudah untuk diikuti, ini tidak bermakna yang tiada ruang untuk kejutan ataupun plot twist tetapi saya boleh katakan tiada di dalam momen penceritaan yang membuatkan saya tertanya-tanya apa yang berlaku, atau apa maksudnya sesuatu yang saya sering lakukan semasa bermain DS1. Bagi saya ada dua sebab mengapa ia berlaku, pertama saya sudah mempunyai pengetahuan mengenai dunia ini, dan penambahan penceritaan untuknya tidak akan menjadi rumit ataupun kompleks, kedua – penyampaian dilakukan adalah dengan lebih baik dan dibantu dengan pacing yang baik membuatkan lebih mudah untuk saya menyerap masuk penceritaan-penceritaan ini.
Satu rungutan yang saya boleh katakan sebagai kekurangan di bahagian penceritaan berbanding DS1 adalah watak-watak baharu yang diperkenalkan seperti Tomorrow (Elle Fanning) ataupun Rainy (Shioli Kutsuna) masih lagi watak menarik tetapi tidak memberi impak seperti mana watak-watak daripada DS1 seperti Mama dan Heartman untuk namakan beberapa. Watak-watak ini bukan satu watak yang tidak baik akan tetapi saya merasakan mereka tidak mempunyai ruangan yang cukup ataupun penceritaan silam yang menarik untuk disampaikan, tetapi mereka masih lagi mempunyai beberapa momen yang epik dan memainkan peranan yang penting di dalam penceritaan. Perkara yang sama juga saya boleh katakan untuk watak Neil (Luca Marinelli) yang boleh dikatakan membawa peranan yang sama seperti Clifford di dalam DS1, tetapi walaupun membawa kisah yang menarik saya masih menyukai watak Clifford berbanding Neil.


Seterusnya saya ingin bercakap pula mengenai kawasan yang saya meluangkan masa hampir 60 jam berjalan, membina, memandu, jatuh dan bangun, iaitu Mexico dan juga Australia. Pemain akan bermula di Mexico terlebih dahulu, satu kawasan ringkas seperti DS1 yang bermula dengan satu kawasan ringkas sebelum bermula ke satu kawasan yang lebih luas, berbanding turun dari Mexico ke Amerika Selatan yang lain, sebaliknya Sam pergi ke Australia. Bagaimana Sam dapat ke Australia, saya tidak akan ceritakan tetapi ada sebabnya dan ada lore-nya. Bercakap mengenai saiz, jika mengikut geografi, Amerika satu kawasan yang lebih luas berbanding dengan Australia, tetapi saya boleh katakan yang Australia DS2 terasa lebih luas dan melakukan penghantaran di peta ini akan mengambil masa yang lebih lama.
Saya juga menyukai Australia kerana selepas membuka kesemua lokasi, anda boleh lihat yang ia adalah satu pusingan, berbanding dengan peta di DS1 yang terasa seperti satu barisan lurus, Australia lebih kepada satu bulatan. Ini membuka ruang untuk saya memilih jalan penghantaran yang lebih pelbagai, ditambah lagi dengan bagi saya rekaan dunia di Australia ini terasa lebih meriah dengan biom-biom yang berbeza, saya boleh katakan yang selepas bermain DS2 jika saya ingin kembali bermain DS1, dengan cepat saya akan merindui kawasan di DS2. Namun, seperti permainan pertama, Australia di dalam permainan ini juga mempunyai rekaan yang ‘kosong’ tiada yang saya boleh katakan mengingatkan anda kepada Australia yang kita tahu sekarang, perkara yang sama berlaku di dalam permainan pertama.


Semasa saya melakukan penghantaran ini, saya boleh katakan yang Australia sebagai satu kawasan untuk penghantaran adalah lebih mudah, kerana kebanyakan kawasan ataupun lokasi yang perlu dituju, mempunyai beberapa laluan dan kebiasaannya salah satu laluan tersebut adalah lebih selamat, walaupun lebih jauh ataupun laluan yang saya boleh guna trak ataupun motosikal. Saya juga boleh katakan ia terasa lebih mudah mungkin kerana saya sudah melaluinya di permainan pertama, oleh itu segala kesilapan yang saya mungkin lakukan dapat dielakkan dan juga membantu untuk saya melakukan rancangan perjalanan dengan lebih berkesan. DS2 juga menyertakan bencana alam seperti gempa bumi yang berlaku dari semasa ke semasa, yang ada masa berlaku pada waktu yang salah akan menyukarkan sesuatu penghantaran, selain itu terdapat juga banjir yang menyukarkan untuk melalui sesuatu kawasan yang sebelum ini boleh dilakukan tanpa sebarang masalah.
Seperti di dalam DS1, Sam boleh mempercepatkan lagi penghantaran ini dengan menggunakan peralatan tambahan, seperti kenderaan ataupun zipline. Dengan kebanyakan barangan ini tidak secara terus boleh digunakan di atas sebab tertentu sebaliknya perlu melakukan penghantaran untuk mempertingkatkan Bintang sesuatu lokasi dan akan mendapat akses kepada barangan baharu sebagai ganjaran. Namun, saya boleh katakan yang kebanyakan barangan yang mengambil masa di DS1 lebih cepat untuk diterima di dalam DS2, saya juga merasakan yang saya mula boleh membina jalan dan penambahan untuk permainan ini iaitu sistem monorail agak cepat dan masih di peringkat awal permainan, membolehkan saya mempunyai pelbagai perkara untuk dilakukan jika tidak ingin melakukan penghantaran ataupun misi yang utama. Jangan lupa untuk melakukan mana-mana ‘Sub-Order’ kerana kebiasaan akan membawa kepada penceritaan tersendiri dengan adegan yang menarik, begitu juga mendapatkan lima bintang di setiap lokasi akan membuka kepada kisah tambahan.


Seminggu terakhir semasa saya bermain DS2, pelayan ditutup yang memaksa saya untuk bermain selanjutnya secara luar talian, ia tidak menjadi masalah bagi melakukan misi utama tetapi akan menyukarkan untuk melakukan jalan ataupun monorail kerana saya tidak akan menerima sumbangan daripada pemain-pemain lain, tetapi ia juga memberi peluang untuk saya mencuba dengan lebih lagi perkara baharu yang diperkenalkan di dalam DS2 iaitu melombong. Saya boleh membuka beberapa lombong yang terdapat di keseluruhan peta, melalui lombong ini saya boleh menggunakan Chiral Crystals untuk mendapatkan sumber lain seperti Ceramics dan Special Alloys, dengan setiap lombong ini mempunyai sistem monorail, ia benar-benar memberi cara baharu untuk saya mencari sumber bagi melengkapi jalan dan monorail, namun saya masih berharap dapat melakukannya secara dalam talian.
Sistem fast travel juga ditambah lagi di dalam DS2, dan Sam tidak terhad kepada dirinya sahaja kerana sekarang ada sistem fast travel yang membolehkan Sam untuk membawa semua barangan, garage kepada mana-mana sahaja lokasi menggunakan DHV Magellan iaitu satu kapal yang dimiliki oleh Drawbridge yang boleh melalui laluan Tar untuk ke lokasi berlainan. Anda juga boleh melakukan fast travel bersama dengan cargo tetapi cargo tersebut tidak akan memberikan jumlah ‘like’ yang banyak berbanding jika dihantar menggunakan cara yang tradisi. Selain DHV Magellan, Sam juga boleh melakukan fast travel menggunakan transporder iaitu binaan baharu yang boleh dilakukan oleh pemain menggunakan PCC.


Sam juga mempunyai beberapa cara baharu untuk bergerak selain daripada motosikal dan trak, dengan ada kenderaan yang boleh melalui lautan ataupun tar, selain itu terdapat juga jenis Skeleton baharu yang boleh digunakan untuk kegunaan yang berbeza seperti untuk bertempur, melakukan penghantaran ataupun untuk melalui kawasan-kawasan yang sukar seperti bukit. Semua ini adalah tambahan yang baik, menjadikan penghantaran lebih menyeronokkan akan tetapi seperti saya nyatakan sebelum ini jika anda tidak menyukai tatamain penghantaran sebelum ini, kesemua barangan baharu ini tidak akan membuatkan akan menukar fikiran dengan ketara.
Satu perkara yang saya boleh katakan diberikan lebih perhatian di dalam DS2 adalah pertempuran, terdapat lebih banyak senjata yang disediakan, termasuk juga anda boleh memanggil BT untuk membantu saya di dalam pertempuran. Tambahan kepada penambahan ini, saya juga boleh katakan yang DS2 terasa lebih seperti satu permainan aksi menembak, yang sudah hadir di dalam DS1 lagi tetapi kali ini ia lebih menjadi fokus, termasuk juga di dalam misi utama. Bagi saya ia satu penambahan yang baik dan saya mempunyai masa yang baik menggunakan segala peralatan ini untuk merampas sesuatu kubu penjahat, tidak mengejutkan ini merupakan orang yang sama menghasilkan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain.


Semasa saya bermain DS1 di PS4 Pro lagi saya sudah kagum dengan kualiti grafik yang dibawa, DS2 lebih lagi daripada itu, ia kelihatan sangat realistik, yang menjadikan rekaan berbeza biom kelihatan lebih menarik. Semasa adegan, watak-watak juga kelihatan lebih baik dengan riak wajah, animasi untuk watak-watak ini, menghampiri satu filem aksi nyata. Terdapat dua tetapan grafik yang boleh dipilih iaitu Prioritise Quality dan Prioritise Performance, saya mencuba kedua-dua tetapan dan saya boleh katakan kekurangan kualiti pada grafik untuk Prioritise Performance adalah kecil jika ingin dibandingkan dengan penambahan kelancaran berbanding Prioritise Quality, tetapi kedua-dua tetapan boleh dimainkan dengan baik tanpa sebarang masalah.
Secara ringkasnya saya boleh katakan yang Death Stranding 2 merupakan satu permainan yang lebih baik, besar, dan menarik berbanding Death Stranding. Setiap bahagian diperkemaskan ataupun ditambah-baik untuk memberikan pengalaman yang walaupun tidak terasa segar tetapi memberi keseronokan yang lebih kepada pemain. Permainan ini tidak akan mengubah pandangan pemain yang tidak menyukai permainan pertama, tetapi jika anda menyukai Death Stranding, permainan kedua ini akan memberikan masa yang baik sekurang-kurangnya untuk 60 jam lagi.


