Musim kedua siri drama jenayah berbahasa Sepanyol, Las Azules (Women in Blue), dijadualkan untuk tayangan melalui Apple TV bermula 12 Ogos 2026. Treler rasmi untuk musim terbaharu ini telah diterbitkan, mendedahkan hala tuju siri penyiasatan yang lebih serius. Selepas tayangan hari pertamanya, satu episod baharu akan disiarkan pada setiap minggu sehingga 30 September 2026.

Dicipta bersama oleh Fernando Rovzar dan Pablo Aramendi, plot musim kedua menumpukan kepada watak María yang kini telah dinaikkan pangkat sebagai leftenan. Dia terus berhadapan dengan satu penyiasatan rumit apabila mayat seorang aktivis pelajar ditemui. Penemuan ini akhirnya mengaitkan jabatan polis secara langsung dengan satu insiden pembunuhan beramai-ramai pelajar yang berlaku pada tahun 1968.

Keadaan keselamatan jabatan polis menjadi lebih terancam apabila satu lagi mayat yang berkaitan dengan sejarah hitam tersebut dijumpai di kawasan awam. Seorang individu mula menyasarkan pihak berkuasa, dengan meletakkan hasil keadilannya di hadapan pintu balai polis. Pasukan Azules, yang terdiri daripada María, Valentina, Gabina, dan Angeles kini menjadi harapan terakhir bagi jabatan tersebut untuk menghentikan siri jenayah berkenaan. Dalam menjalankan siasatan, keempat-empat mereka terpaksa merungkai kebenaran yang tertimbus di sebalik kepincangan rasuah, serta berhadapan dengan sistem keadilan yang dipersoalkan kredibilitinya.

Siri ini sekali lagi mengekalkan Bárbara Mori, Ximena Sariñana, Natalia Téllez, dan Amorita Rasgado sebagai tonggak utama penceritaan. Mereka disokong oleh barisan pelakon lain seperti Miguel Rodarte, Leonardo Sbaraglia, Christian Tappan, Horacio García Rojas, dan Bruno Bichir. Diterbitkan oleh Lemon Studios untuk Apple TV, pasukan di belakang tabir Las Azules (Women in Blue) merangkumi penerbit eksekutif Fernando Rovzar, Wendy Riss, Alejandro Lozano, Erica Sánchez Su, dan Billy Rovzar.

Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.

Leave a Reply