Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, dianugerahkan Creative Content Animation Award di Japan Expo Malaysia 2026 atas sumbangan beliau dalam memajukan industri animasi kreatif serta membawa kandungan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan ini menyusul di tengah-tengah penembusan berterusan karya MONSTA di pasaran Jepun. Siri Siri Mechamato Musim 4 kini ditayangkan di stesen televisyen Tokyo MX. Pencapaian ini menyambung rekod terdahulu di mana Mechamato menjadi animasi luar Jepun pertama memenangi anugerah di Tokyo Anime Award Festival 2023, manakala Mechamato Movie merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di rangkaian pawagam AEON Cinema di Jepun.
Di samping perkembangan di luar negara, studio animasi ini mencatatkan kejayaan komersial menerusi Papa Zola The Movie yang mengutip lebih RM68 juta di pawagam. Kutipan tersebut menjadikannya antara filem animasi tempatan tertinggi dalam sejarah, mengatasi kutipan filem animasi Hollywood di Malaysia.

Ekosistem hiburan MONSTA merangkumi jenama seperti BoBoiBoy, Mechamato, dan Papa Pipi. Pembangunan portfolio ini tidak terhad kepada siri dan filem animasi semata-mata, malah turut berkembang ke bidang permainan interaktif, barangan koleksi, dan kerjasama komersial.
Nizam menyatakan bahawa kejayaan animasi tempatan membuktikan medium ini mampu bertindak sebagai instrumen ‘soft power’ negara. Menerusi tayangan global, kandungan animasi memperkenalkan budaya, nilai kekeluargaan, serta identiti Malaysia kepada penonton antarabangsa.


