Bagi mendedahkan ibu bapa kepada sistem platform mereka, Roblox hari ini telah melancarkan Family Zone, sebuah permainan baharu yang dibangunkan bersama studio MindTrust. Objektif utama penawaran ini adalah untuk membantu penjaga memahami cara platform ini berfungsi dan memudahkan perbincangan mengenai keselamatan digital secara langsung melalui sesi bermain bersama anak-anak.


Permainan ini mengubah dinamik interaksi biasa dengan menjadikan kanak-kanak sebagai pembimbing yang mengajar ibu bapa pada langkah pertama mereka di platform tersebut. Sambil mendedahkan cara asas mengawal dan menggerakkan avatar di dalam ruang 3D, pengalaman ini direka untuk memberi pemahaman praktikal kepada ibu bapa yang mungkin kurang arif tentang permainan yang dimainkan oleh anak-anak mereka.
Melalui Family Zone, ibu bapa akan diajar cara menggunakan sistem kawalan keselamatan yang ditawarkan apabila akaun mereka dipautkan. Ini merangkumi tetapan penting seperti pengehadan masa skrin, pengurusan perbelanjaan pemain, pemantauan interaksi sosial dengan pengguna lain, dan penentuan jenis permainan yang boleh diakses. Sebagai galakan, pemain yang berjaya melengkapkan tutorial di dalam permainan ini akan menerima ganjaran berupa barangan eksklusif untuk avatar mereka.


Roblox turut mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan beberapa organisasi luar bagi memperluas skop modul pembelajaran Family Zone pada masa akan datang. Melalui kerjasama dengan Koko, Playerthree, dan penyelidik dari Lab for Scalable Mental Health di Northwestern University, platform ini akan menambah kandungan pendidikan khusus yang merangkumi isu pencegahan penipuan dalam talian, pembinaan ketahanan terhadap buli, dan strategi mengelak kelakuan pemangsa di internet.


