Pemain World of Tanks akan menerima kandungan baharu melalui kolaborasi terbaharu bersama Ubisoft yang membawakan kandungan daripada siri permainan FAR CRY ke dalam World of Tanks. Acara masa terhad yang dinamakan Battle Pass Special: Far Cry ini akan berlangsung dari 16 Julai hingga 27 Julai ini, menawarkan watak-watak komander, item kosmetik bertema, dan sebuah kereta kebal baharu.

Sepanjang acara ini berlangsung, pemain berpeluang mendapatkan lima watak FAR CRY sebagai komander di medan pertempuran, di mana setiap watak dilengkapi dengan rakaman suara yang unik. Melalui sistem Chapter Progression, pemain boleh membuka watak Jack Carver dan Dr. George Krieger. Tiga lagi watak iaitu Jason Brody, Citra Talugmai, dan Pagan Min boleh didapati melalui pembelian berkas bertema yang ditawarkan.

Fokus utama ganjaran kenderaan untuk acara ini ialah M-VII-Y, sebuah kereta kebal jenis heavy tank Tier IX Amerika Syarikat yang turut boleh didapati melalui Chapter Progression. Kereta kebal ini dilengkapi dengan gaya 3D eksklusif bernama “Twisting Paths” yang memaparkan rekaan daun palma pada bahagian turet, serta bentuk meriam bercorak puak yang mengambil inspirasi daripada pisau Citra.

Selain gaya 3D, kemajuan acara ini turut menawarkan tiga gaya 2D tersuai melalui laluan ganjaran asas dan laluan yang dinaik taraf. Gaya “Trouble in Paradise” mengambil inspirasi daripada baju kemeja Hawaii merah yang dipakai oleh Jack Carver dalam permainan FAR CRY pertama. Gaya “Tatau” pula memaparkan corak tatu puak Rakyat, manakala gaya “Jungle Fever” menggabungkan elemen visual dari FAR CRY 3 bersama imej pisau legenda Citra.

Pemain juga mempunyai pilihan untuk melengkapkan pelbagai misi pertempuran khas bagi mendapatkan lebih banyak ganjaran berinspirasikan francais tersebut sepanjang tempoh acara ini berjalan.

Leave a Reply