Peminat sukan permotoran di Asia Tenggara bakal menjadi kumpulan pertama di dunia yang menerima akses kepada MotoGP Rivals. Pendaftaran awal untuk permainan berlesen rasmi ini kini telah dibuka, dengan tarikh pelancaran rasmi dijadualkan pada 15 Julai 2026 untuk iOS dan Android melalui Apple App Store dan Google Play.

Fasa pelancaran awal permainan oleh Tiny Digital Factory yang berpangkalan di Lyon, Perancis ini memfokuskan kepada pasaran Asia Tenggara terlebih dahulu, melibatkan negara Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar, Kemboja, Laos, Singapura, dan Brunei. Wilayah-wilayah lain di luar Asia Tenggara hanya akan menerima akses pada tarikh terkemudian.

MotoGP Rivals merupakan sebuah management game yang meletakkan pemain sebagai pengurus pasukan. Permainan ini membawakan aset berlesen sepenuhnya termasuk barisan pelumba, pasukan, dan pengeluar rasmi daripada kejohanan dunia MotoGP.

Sebagai pengurus, pemain bertanggungjawab untuk merekrut barisan pelumba pilihan dan menaik taraf serta meningkatkan prestasi jentera masing-masing. Di samping itu, aspek taktikal memerlukan pemain membuat keputusan penting pada hari perlumbaan dan menyesuaikan strategi mengikut situasi dinamik di atas litar.

Permainan ini turut memuatkan mod kompetitif PvP duels secara bertanding terus untuk membolehkan pemain mencabar pengurus lain dari seluruh dunia. Setiap kemenangan akan membantu pemain mengumpul mata bagi meningkatkan kedudukan dalam sistem liga serta memanjat carta penarafan global.

Leave a Reply