Riot Games telah mendedahkan set terbaharu untuk permainan video Teamfight Tactics (TFT) yang diberi nama Enchanted Wilds. Set yang membawakan tema hutan mistik dan makhluk ajaib ini dijadualkan untuk dilancarkan di Public Beta Environment (PBE) pada 28 Julai ini bagi platform PC, iOS dan Android.
Mekanik utama yang diperkenalkan dalam set ini ialah Wisps, iaitu entiti magis yang akan muncul di kedai pemain sebagai sumber kuasa boleh beli yang bersifat sementara. Diadaptasi daripada mekanik ‘Charms’ dalam set Magic N’ Mayhem, pemain hanya dibenarkan membeli satu Wisp pada setiap pusingan bagi mendapatkan kelebihan tempur, ganjaran ekonomi, atau mata pengalaman. Keupayaan elemen ini boleh dipertingkatkan lagi sekiranya pemain mengaktifkan trait Blossom.


Enchanted Wilds turut membawakan kepelbagaian pilihan strategi menerusi pengenalan sistem trait dan Origins yang baharu. Antaranya termasuklah Riftbeasts, yang membawa masuk raksasa rimba daripada League of Legends seperti Gromp, Raptor, dan Elder Dragon ke dalam arena perlawanan melalui sistem Alpha Mark. Selain itu, trait Elderwood membolehkan pemain meletakkan tumbuhan khas untuk sokongan pertahanan barisan hadapan. Set ini juga memperkenalkan trait rahsia dinamakan Eclipse, yang hanya akan aktif apabila pemain menggabungkan trait Sunbeam dan Moonbeam untuk menghapuskan musuh yang memiliki nyawa terendah.
Tiga watak Legendary champion yang menjadi tumpuan ialah Draven, Ivern, dan Lux. Draven hadir bersama sistem ganjaran yang memberikan misi khusus sepanjang perlawanan untuk ditukarkan kepada bonus ekonomi. Ivern pula menggunakan mekanik Greenfather bagi mengubah suai bentuk mukabumi papan permainan menjadi kawasan seperti air terjun atau paya yang memberi kesan bonus kepada unit di atasnya. Sementara itu, Lux kembali sebagai unit fleksibel yang dikira sebanyak dua kali untuk Origin yang dipilih, sekali gus mengunci pilihan Origin tersebut daripada diambil oleh pemain lain. Sistem Carousel untuk pemilihan barangan dan watak turut disahkan kembali.


Selain perubahan mekanik permainan, pihak studio akan meluncurkan barisan kosmetik baharu. Pilihan yang disediakan merangkumi watak Chibi Soul Fighter Jinx, Chibi Office Aatrox, kawasan perlawanan Jinx’s Tournament of Chaos Arena, serta varian Spirit Blossom Springs Aphelios Unbound dan Coven LeBlanc Unbound.
Bagi kalendar esukan, Riot Games mengumumkan penganjuran acara Convergence Fest yang akan berlangsung di Las Vegas pada 11 hingga 13 Disember. Acara komuniti berskala besar ini bakal menggabungkan dua kejohanan utama iaitu TFT Vegas Open dan Riftbound NA Regional Championship.


