Kandungan muat turun (DLC) terbaharu untuk GigaBash kini tersedia, memperkenalkan dua watak yang saling bertentangan iaitu Ultraman Zero dan Ultraman Belial. Kedua-dua watak ini ditampilkan berdasarkan reka bentuk asal mereka menerusi filem Mega Monster Battle Ultra Galaxy: The Movie yang ditayangkan pada tahun 2009.
Pemain yang memilih Ultraman Zero akan mengawal seorang pejuang dari Land of Light yang pakar dalam seni mempertahankan diri angkasa lepas. Watak ini dilengkapi dengan senjata Zero Sluggers untuk mengawal jarak musuh serta pancaran tenaga Emerium Slashes bagi menumbangkan pihak lawan dari jarak jauh.
Sebaliknya, Ultraman Belial merupakan antagonis yang menumpukan pada kuasa pemusnah secara mutlak. Watak yang dipacu oleh dendam terhadap Land of Light ini menggunakan senjata Giga Battlenizer di dalam pertempuran. Selain itu, gabungan genetik makhluk asing memberikan Belial kepelbagaian corak serangan termasuk libasan cakar, bebola api, pancaran kilat, dan kawalan kegelapan.



GigaBash merupakan permainan yang dibangunkan oleh pembangun tempatan Passion Republic Games dan sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC.


