Apple TV hari ini secara rasmi melancarkan trailer untuk siri animasi terbaharu Peanuts berjudul Snoopy Presents: There’s No Place Like Home, Snoopy. Siri ini akan tiba secara rasmi di perkhidmatan tersebut pada 31 Julai.
Diinspirasikan daripada komik klasik karya Charles M. Schulz, jalan cerita kali ini memaparkan pengembaraan Charlie Brown dan Snoopy. Kisah bermula apabila rumah anjing milik Snoopy tidak sengaja dijual dalam satu jualan lelong. Bagi mengubati kesedihan rakannya, Charlie Brown mengetuai misi pencarian untuk menjejaki semula rumah tersebut, sekali gus membawa mereka memahami erti sebenar sebuah kediaman.
Naskhah khas ini membariskan pelakon suara seperti Riley Vargas, Terry McGurrin, Rob Tinkler, Kitai O’Garro, Josephine Nisbett, Grace Nicolaou-Wood, Jo-Hannah Atchison, Lexi Perri, Athan Giazitzidis, dan Diego Whalen. Manakala tanggungjawab selaku penerbit eksekutif digalas oleh Josh Scherba, Stephanie Betts, Logan McPherson, Paige Braddock, Chris Bracco, dan Mark Evestaff. Penyanyi dan penulis lagu, Allen Stone, turut menyumbang lagu asal bertajuk “Home, Where Your Heart Found Me” untuk projek ini.
Pelancaran ini adalah sebahagian daripada lanjutan kontrak perkongsian eksklusif antara Apple TV bersama WildBrain, Peanuts Worldwide, dan Lee Mendelson Film Productions yang akan berterusan sehingga tahun 2030. Melalui kerjasama yang bermula sejak 2018 ini, Apple TV mengekalkan hak eksklusif penstriman bagi kesemua kandungan Peanuts, termasuk arkib klasik (sejak 2020) serta siri dan filem baharu.



Dalam perkembangan sama, Apple TV bersama WildBrain dan Peanuts kini sedang dalam fasa produksi untuk sebuah filem animasi cereka terbaharu bertajuk Snoopy Unleashed. Filem tersebut akan mengisahkan tindakan Snoopy melarikan diri dari rumah, yang kemudiannya memaksa Charlie Brown dan rakan-rakan memulakan perjalanan emosi ke kawasan Big City untuk mencarinya.
Pustaka kandungan Peanuts di Apple TV ketika ini merangkumi siri asal seperti Snoopy In Space dan The Snoopy Show, serta beberapa telefilem khas di bawah jenama Snoopy Presents seperti It’s the Small Things, Charlie Brown, Lucy’s School, To Mom (and Dad), With Love, One-of-a-Kind Marcie, Welcome Home, Franklin, For Auld Lang Syne, dan A Summer Musical. Turut disediakan adalah dokumentari seperti Who Are You Charlie Brown? dan Peanuts In Space: Secrets of Apollo 10, di samping koleksi antologi klasik termasuk It’s the Great Pumpkin, Charlie Brown, A Charlie Brown Thanksgiving, A Charlie Brown Christmas, It’s the Easter Beagle, Charlie Brown, dan Be My Valentine, Charlie Brown.
Apple TV boleh dilanggan pada harga langganan RM29.90 sebulan, dengan tawaran tempoh percubaan selama tujuh hari untuk pengguna baharu.


