HoYo FEST 2026 akan kembali lagi ke Malaysia, acara tahunan ini dijadualkan berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026. Berpusat di Dewan 1 hingga 3, Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil, pameran ini memberi tumpuan kepada pemain tempatan yang ingin mencuba dan juga mendapatkan pelbagai barangan permainan HoYoverse seperti Genshin Impact, Honkai: Star Rail, Zenless Zone Zero bersama dengan permainan akan datang mereka Honkai: Nexus Anima.
Pembukaan Jualan Tiket
Peminat yang merancang untuk hadir perlu mendapatkan tiket bermula 16 Julai 2026 pada jam 11:00 pagi. Pembelian hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui platform rasmi yang tertera di laman web HoYo FEST 2026.
Pihak penganjur menetapkan bahawa tiada jualan tiket fizikal disediakan di lokasi pameran bagi pengunjung di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, dan Filipina. Pengecualian jualan di tapak pameran hanya diberikan kepada pembelian Pas Kanak-Kanak dan Pas Orang Kurang Upaya (OKU). Semua tiket dijual dalam kuantiti terhad berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat, manakala penganjur juga menegaskan bahawa mereka tidak bertanggungjawab ke atas pembelian tiket daripada platform pihak ketiga.

Kategori Pas dan Kelebihan Akses
Terdapat tiga pilihan pas yang ditawarkan kepada pengunjung, masing-masing dengan tahap akses berbeza.
Pas Pantas 1-Hari menawarkan akses sehari tanpa had dengan kemasukan seawal satu jam sebelum pemegang pas biasa dibenarkan masuk. Pemegang pas ini mendapat akses keutamaan di zon pendaftaran, zon pengalaman, semua reruai permainan, dan reruai foto. Pas ini turut menyertakan jaminan barangan percuma selepas menyelesaikan tugasan yang ditetapkan di zon pendaftaran. Ia didatangkan berserta satu pasport peringatan eksklusif HoYo FEST 2026, satu tali leher berserta pemegang kad pengenalan, satu tiket hologram eksklusif, satu beg kertas, dan satu tiket cabutan bertuah.
Pas 1-Hari menyediakan akses kemasukan standard selama satu hari tanpa had, dengan kemasukan dibenarkan satu jam selepas pemegang Pas Pantas masuk ke dalam dewan.
Pas Acara Penuh memberikan akses tanpa had untuk kesemua hari pameran berlangsung dengan syarat kemasukan standard yang sama seperti Pas 1-Hari.

Tarikh dan Lokasi Serantau
Selain Malaysia, HoYo FEST 2026 akan turut dianjurkan di beberapa bandar utama lain di Asia Tenggara.
| Negara | Bandar | Tarikh | Tempat |
| Vietnam | Ho Chi Minh | 30 Julai – 2 Ogos 2026 | Sky Expo, Hall A4 |
| Thailand | Bangkok | 30 Julai – 2 Ogos 2026 | Central Ladprao, BCC Hall |
| Indonesia | Jakarta | 30 Julai – 2 Ogos 2026 | Pondok Indah Mall 3, City Hall |
| Filipina | Manila | 30 Julai – 2 Ogos 2026 | SPACE at One Ayala, Hall A–D |
| Singapura | Singapura | 31 Julai – 2 Ogos 2026 | Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre, Hall 403 |
Hanya acara di Vietnam yang akan menyediakan fasiliti jualan tiket secara terus di lokasi pameran di samping jualan secara dalam talian. Maklumat khusus berkenaan pas kanak-kanak dan OKU mungkin berbeza mengikut negara dan pengguna dinasihatkan untuk merujuk laman web rasmi bagi pengesahan lanjut.


