Siri drama jenayah terbaharu Apple TV, Nocturne, dijadualkan menemui penonton secara rasmi pada 30 Oktober 2026. Siri sepanjang 10 episod ini diadaptasi daripada novel jenayah popular, “Lazarus” dan “The Sandman” hasil karya Lars Kepler.

Nocturne memfokuskan kisah Jonah Lynn, watak lakonan Liev Schreiber, seorang bekas tentera yang bertukar kerjaya menjadi detektif pembunuhan. Selepas berhijrah ke sebuah pekan kecil di Western Pennsylvania untuk mencari ketenangan, kehidupan Jonah bertukar menjadi huru-hara apabila pekan tersebut serta keluarganya menjadi sasaran pembunuh bersiri licik, Jurek Walter (Stephen Graham). Keadaan menjadi semakin mendesak apabila Jonah terpaksa menghantar anak angkatnya, ejen FBI bernama Saga Bauer (Zazie Beetz), untuk berhadapan dengan Jurek demi menjejaki mangsa terakhir pembunuh tersebut yang masih hilang.

Dua episod terawal siri ini akan ditayangkan serentak pada tarikh pelancaran, manakala episod seterusnya akan bersiaran pada setiap hari Jumaat sehingga 25 Disember 2026.

Selain barisan pelakon utama tersebut, drama ini turut menampilkan Bill Camp, Rory Culkin, Chrissy Metz, Poorna Jagannathan, dan Gary Carr.

Dari segi penerbitan di balik tabir, John Hlavin bertindak sebagai showrunner, penulis, dan penerbit eksekutif. Rowan Joffe pula memegang peranan sebagai penulis, dan penerbit eksekutif. Dua episod pertama siri ini diarahkan oleh Tim Van Patten, yang turut menggalas tanggungjawab selaku penerbit eksekutif. Beberapa nama lain turut dinamakan sebagai penerbit eksekutif termasuk pelakon utamanya, Schreiber dan Beetz, serta penulis asal novel, Lars Kepler (Alexandra Coelho Ahndoril dan Alexander Ahndoril).

Nocturne diterbitkan untuk Apple TV oleh A+E Studios dengan kerjasama Range Studios.

Apple TV boleh dilanggan pada harga RM29.90 sebulan, yang turut menawarkan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu.

Leave a Reply