Nintendo mengumumkan bahawa permainan mudah alih Mario Kart Tour akan menamatkan operasinya secara rasmi pada 30 September 2026. Penutupan pelayan ini menamatkan kitaran hayat permainan tersebut selepas tujuh tahun.
Susulan daripada pengumuman ini, penjualan mata wang dalam permainan (Ruby) dan pendaftaran baharu untuk langganan bulanan Gold Pass telah dihentikan serta-merta berkuat kuasa 8 Julai 2026. Segala bentuk pembaharuan langganan secara automatik bagi pelanggan sedia ada juga telah dibatalkan. Walau bagaimanapun, pemain masih boleh menggunakan baki Ruby mereka di Pickup Shop, Mii Suit Shop, dan Coin Rush sehingga pelayan ditutup sepenuhnya.
Bermula 5 Ogos 2026 bersempena dengan permulaan “Vacation Tour”, Nintendo akan membuka akses ciri-ciri langganan Gold Pass secara percuma kepada semua pemain sehingga hari terakhir perkhidmatan.
Bagi pengguna yang mempunyai baki Ruby berbayar yang tidak digunakan, Nintendo akan melaksanakan proses bayaran balik wang. Pemain dinasihatkan supaya tidak membuang aplikasi Mario Kart Tour daripada peranti mereka selepas tarikh penutupan kerana permohonan bayaran balik wajib dilakukan melalui sistem borang di dalam aplikasi tersebut. Segala arahan lanjut mengenai prosedur tuntutan akan diterbitkan di laman web rasmi selepas 30 September.
Selepas perkhidmatan ditamatkan, data pemain masih boleh diakses untuk satu tempoh masa yang terhad. Rekod tour masa lalu kekal boleh disemak di dalam aplikasi sehingga 13 Januari 2027, manakala kedudukan All-Cup Ranking akan dipaparkan di laman web rasmi sehingga 30 September 2027. Nintendo juga merancang untuk menerbitkan ringkasan retrospektif sejarah permainan ini yang dipanggil “Marikatsu Report” melalui akaun X rasmi mereka.


