Apple TV secara rasmi mengumumkan pembikinan sebuah siri thriller baharu bertajuk Guilty Creatures. Siri ini akan dibintangi oleh pemenang Anugerah Emmy dan Golden Globe, Julia Garner, yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Siri ini merupakan adaptasi daripada sebuah buku true-crime karya Mikita Brottman yang bertajuk “Guilty Creatures: Sex, God, and Murder in Tallahassee, Florida”. Jalan ceritanya memfokuskan kepada konflik psikologi membabitkan hubungan sulit dan kes pembunuhan oleh sepasang kekasih muda yang taat beragama di Florida. Plot utama siri ini akan membongkar kehidupan rumit pasangan tersebut serta kesan emosi yang dihadapi selepas hidup sebagai pembunuh selama 18 tahun.

Selain Julia Garner yang sebelum ini terkenal menerusi siri Ozark dan Weapons, projek ini turut membariskan Craig Gillespie sebagai pengarah dan penerbit eksekutif. Gillespie sebelum ini pernah mengarah siri dan filem seperti I, Tonya, Your Friends & Neighbors, dan Pam & Tommy. Manakala tugasan showrunner dan penerbit eksekutif pula digalas oleh Stuart Zicherman (The Shrink Next Door, Sweetbitter, The Americans), dengan skrip yang diadaptasi oleh Sarah DeLappe (Bodies Bodies Bodies).
Guilty Creatures diterbitkan untuk Apple TV oleh Tomorrow Studios (ONE PIECE, Physical), sebuah rakan kongsi ITV Studios. Siri ini dibangunkan melalui perjanjian ‘first-look’ Tomorrow Studios bersama syarikat produksi milik Garner (Alma Margo) dan Gillespie (Fortunate Jack Productions). Barisan penerbit eksekutif lain yang terlibat termasuk Marty Adelstein, Becky Clements, Alissa Bachner, Annie Marter, serta penulis asal buku tersebut, Mikita Brottman.
Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan di tv.apple.com/my dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari bagi pengguna baharu. Bagi masa yang terhad, pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menikmati langganan percuma selama tiga bulan.


