Prime Video telah mengumumkan yang filem Project Hail Mary akan mula disiarkan di platform mereka bermula pada 3 Julai selepas kejayaan mencatat rekod pecah panggung $683 juta sepanjang tayangan di pawagam.

Naskhah ini merupakan adaptasi daripada novel terlaris New York Times hasil karya Andy Weir. Jalan ceritanya memfokuskan kepada watak Ryland Grace (Ryan Gosling), seorang guru sains yang terjaga di dalam sebuah kapal angkasa yang terletak berbilang tahun cahaya dari bumi. Dia tersedar dalam keadaan hilang ingatan tanpa mengetahui identiti diri atau punca dia berada di lokasi tersebut.

Apabila ingatannya mula kembali, Ryland menyedari misi utamanya adalah untuk merungkai misteri tentang sejenis bahan aneh yang menyebabkan matahari semakin malap. Berbekalkan pengetahuan sains dan idea luar biasa, dia perlu mencari jalan bagi menyelamatkan bumi daripada ancaman kepupusan, sambil dibantu oleh satu jalinan persahabatan yang tidak disangka-sangka.

Filem ini diarahkan oleh gandingan pengarah Phil Lord dan Christopher Miller, dengan lakon layar yang ditulis oleh Drew Goddard. Filem ini turut menampilkan barisan pelakon sokongan lain seperti Sandra Hüller, James Ortiz, Lionel Boyce, Ken Leung, Milana Vayntrub, dan Priya Kansara.

Project Hail Mary diterbitkan secara bersama oleh Amy Pascal, Ryan Gosling, Phil Lord, Christopher Miller, Aditya Sood, Rachel O’Connor, dan Andy Weir. Manakala jawatan penerbit eksekutif pula digalas oleh Patricia Whitcher, Lucy Winn Kitada, Nikki Baida, Ken Kao, Drew Goddard, serta Sarah Esberg. Syarikat produksi yang terlibat dalam pembikinan ini merangkumi Pascal Pictures, Open Invite Films/Waypoint Entertainment, dan Lord Miller Production.

Baca: Ulasan Project Hail Mary

Leave a Reply